Tidak Benar Sama Sekali Islam, Melayu Tergugat Di Bawah Kerajaan Perpaduan

BAKRI, 3 Sept – Timbalan Presiden UMNO Datuk Seri Mohamad Hasan dengan tegas menolak dakwaan parti lawan bahawa agama Islam dan hak keistimewaan orang Melayu tergugat di bawah pentadbiran Kerajaan Perpaduan.

Tegas Menteri Pertahanan itu, tohmahan dan mainan persepsi yang sering ditimbulkan oleh Perikatan Nasional (PN) adalah tidak benar dan amat tersasar sama sekali serta lebih bertujuan mahu mengelirukan rakyat.

Jelasnya, sebelum penubuhan Kerajaan Perpaduan lagi UMNO/Barisan Nasional (BN) telah meletakkan sepuluh syarat dalam perundingan yang antara lain mengenai kesucian agama Islam, hak istimewa orang Melayu/Bumiputera, kedudukan Bahasa Melayu dan kedaulatan institusi Raja-Raja Melayu.


“Kami berunding dengan syarat-syarat yang ditetapkan. Nombor satu bahawa semua pihak parti komponen kita (BN) dan Pakatan Harapan (PH) mesti menghormati Artikel 153 Perlembagaan negara.

“Artikel 153 menyebut bahawa hak-hak keistimewaan Melayu/Bumiputera, Bahasa Melayu dan Raja-Raja Melayu. Semua (parti dalam PH) setuju dan tandatangan perjanjian,” kata Mohamad yang juga Timbalan Pengerusi BN dalam sesi sembang santai bersama ahli parti sempena Pilihan Raya Kecil (PRK) Dewan Undangan Negeri (DUN) Simpang Jeram di sini, malam tadi.

Berdasarkan pengalamannya di dalam mesyuarat Kabinet juga, Mohamad menjelaskan anggota mesyuarat yang ada terdiri daripada bukan Melayu/Bumiputera dan bukan beragama Islam tidak pernah menentang sebarang dasar yang dibentangkan berkaitan kepentingan hal ehwal Islam dan Melayu/Bumiputera.

“JAKIM (Jabatan Kemajuan Islam Malaysia) selalunya bajet dapat RM1.2 bilion, tahun ini dapat RM1.5 bilion… tiada bantahan. Hutang Felda hendak dilupuskan RM8 bilion, kami telah bersetuju dalam Kabinet dan orang Felda 98 peratus Melayu.

“Banyak orang kata Islam tergugat. Dalam Kabinet ada 28 orang. Daripada 28, 19 orang Melayu. Nak tergugat macam mana? Yang selebihnya sembilan orang yang bukan Melayu bukan semua Dap, mereka empat sahaja walaupun menang 40 lebih kerusi (Parlimen). UMNO/BN cuma ada 30 (kerusi Parlimen) tetapi ada enam menteri. Yang lain bukan Melayu itu dari Sarawak dan Sabah.

“Kami akan jaga kemuliaan, apa sahaja berkenaan bangsa Melayu, agama Islam, Raja-Raja Melayu dan Bahasa Melayu, Insya-Allah,” katanya.

Berhubung dengan PRK DUN Simpang Jeram, Mohamad menyeru pengundi-pengundi UMNO menyokong calon PH iaitu Nazri Abdul Rahman kerana membantu rakan yang berada di dalam Kerajaan Perpaduan.

Begitu juga Mohamad menasihati rakyat agar jangan tersilap pilih dan mengambil contoh keputusan Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor pada 2022 yang telah menghasilkan satu kerajaan yang mantap dan kukuh bagi negeri itu.

“Jadi pada kali ini, Pilihan Raya Negeri Johor sudah bagus. Majoriti negeri Johor baik dan bila negeri mempunyai kerajaan yang mantap, Johor sekarang merupakan negeri yang paling tinggi mendapat pelaburan. Sebaik sahaja menang 41 kerusi… mencurah-curah datang pelaburan,” jelasnya.

Dalam ucapannya juga, Mohamad berkata salah tanggapan apabila ada yang berkata orang muda tidak bersama dengan parti kerana berdasarkan pengalamannya dalam PRN Negeri Sembilan baru-baru ini di kawasannya DUN Rantau, semua saluran dimenanginya termasuk saluran anak muda. – UMNO ONLINE

@umnoonline

Dapatkan berita terkini UMNO terus ke Whatsapp Anda! Ikuti     Whatsapp Channel UMNO Online sekarang.