Suhaizan Janji Beri Khidmat Terbaik Kepada Rakyat Pulai – Ahmad Zahid
PULAI, 3 Sept – Calon Pakatan Harapan (PH) bagi kawasan Parlimen Pulai, Suhaizan Kayat telah berjanji untuk memberikan perkhidmatan terbaik kepada rakyat di kawasan tersebut sekiranya diberi mandat pada 9 September ini, kata Presiden UMNO, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi.
Jelasnya, sekiranya wakil rakyat yang dipilih adalah sealiran dengan kerajaan pusat dan negeri, segala permasalahan rakyat akan dapat disantuni dengan sebaiknya.
“Segala permasalahan rakyat khususnya di Projek Perumahan Rakyat (PPR) Melana Indah ini akan dapat dilaksanakan sebaiknya jika wakil rakyat yang dipilih datangnya daripada Kerajaan Perpaduan.
“Tentunya semua yang dipohon akan dipermudahkan jika wakil rakyat yang dipilih adalah Suhaizan Kayat. Perkara ini cukup penting bagi para penduduk di PPR ini. Ia adalah hasrat Kerajaan Negeri Johor dan Persekutuan apatah lagi keprihatinan kerajaan Johor yang tidak pernah meninggalkan rakyatnya.
“Tentunya kerajaan negeri yang amat kuat memerlukan kedudukan stabil. Untuk itu, di Simpang Jeram akan ada wakilnya yang sama dengan Kerajaan Perpaduan,” katanya ketika menyampaikan ucapan di Majlis Lawatan Kerja di PPR Melana Indah Fasa 1, sebentar tadi.
Menurutnya, kemenangan Suhaizan di Parlimen Pulai ini akan mencukupkan jumlah kerusi Parlimen Kerajaan Perpaduan untuk mempunyai dua pertiga majoriti.
“Di Pulai ini, kemenangan Suhaizan akan benar-benar mencukupkan kerusi Parlimen dan terus meletakkan Kerajaan Perpaduan ini mempunyai dua pertiga majoriti. Justeru, kemenangan beliau adalah cukup penting.
“Dengan adanya majoriti dua pertiga ini, kita boleh meminda perlembagaan sekiranya diperlukan termasuk melakukan persempadanan semula kerana bagi saya mustahil untuk sesebuah kawasan mempunyai ramai penduduknya dijaga oleh hanya seorang Ahli Parlimen.
“Realiti politik telah berubah. Namun realitinya apabila parti dianggotai oleh calon kita adalah rakan politik baharu kita. Keserasian selama sembilan bulan ini telah meletakkan bekas Setiausaha Politik Allahyarham Datuk Seri Salahuddin Ayub sebagai calon. Beliau telah berjanji dengan saya akan memberikan perkhidmatan terbaik kepada seluruh rakyat Parlimen Pulai,” katanya lagi.
Dalam pada itu, beliau turut beranggapan bahawa kerajaan yang progresif perlulah menyantuni segala permasalahan rakyat.
“Kerajaan Madani ini setiap janji dilafazkan dan perkara dibawa sudah semestinya akan diluluskan demi kepentingan rakyat.
“Kerajaan yang progresif akan menyantuni segala permasalahan rakyat dengan sebaiknya. Jika Suhaizan wakil kita, saya pasti beliau akan bekerja dengan baik. Sekiranya orang lain yang dipilih, saya fikir ‘kirim salam’ sahajalah,” katanya lagi. – UMNO Online