PRK Pulai: Jangan Terbelenggu Dengan Dakyah Dan Fitnah Pihak Lawan – Noor Azleen

PULAI, 3 Sept – Ketua Pemuda UMNO Johor, Noor Azleen Ambros mengingatkan para pengundi Pilihan Raya Kecil (PRK) Parlimen Pulai dan Dewan Undangan Negeri (DUN) Simpang Jeram agar tidak terbelenggu dengan dakyah dan fitnah yang cuba dibawa oleh pihak lawan.

Jelasnya, beliau berpuas hati dengan proses berkempen yang telah berjalan lebih kurang seminggu selepas penamaan calon.

“Setakat ini saya berpuas hati dengan perjalanan kempen di peringkat kita Kerajaan Perpaduan. Keserasian yang telah ditunjukkan oleh jentera di pelbagai peringkat seperti apa yang berlaku di pilihan raya enam buah negeri, kemesraan dalam kalangan jentera Kerajaan Perpaduan itu betul-betul terserlah dan dilihat lebih selesa.

“Itu semua adalah petunjuk dan juga petanda penting untuk memastikan calon Kerajaan Perpaduan dapat mencapai kemenangan pada 9 September 2023 nanti.

“Keselesaan dan kemesraan jentera di pelbagai peringkat antara gabungan parti Pakatan Harapan (PH) dan Barisan Nasional (BN) penting untuk kita meyakinkan para pengundi di kedua-dua tempat iaitu Parlimen Pulai dan DUN Simpang Jeram bahawa ini adalah formula terbaik untuk negara… calon kita ketengahkan dapat menjadi wakil rakyat terbaik bagi kedua-dua peringkat Kerajaan negeri serta pusat,” katanya kepada UMNO Online.

Jelasnya, PRK ini merupakan sebuah peluang yang perlu direbut oleh semua pihak terutamanya dalam mengukuhkan kedudukan Kerajaan Perpaduan di Johor dan persekutuan.

“Kita menaruh harapan sepenuhnya untuk kedua-dua mereka bakal diterima dan akhirnya mendapat mandat daripada rakyat di kawasan ditandingi.

“Peluang dan kesempatan ini haruslah dimanfaatkan sepenuhnya oleh pengundi di kedua-dua buah kawasan untuk kita mengukuhkan lagi kedudukan Kerajaan Perpaduan yang membentuk kerajaan Negeri Johor dan persekutuan.

“Peluang ini wajar dimanfaatkan sepenuhnya oleh para pengundi agar pengukuhan Kerajaan Perpaduan di Johor dan peringkat persekutuan membolehkan kita merencana lebih banyak agenda dan juga perancangan soal ekonomi, negeri dan negara yang rakyatlah akan menerima manfaatnya,” katanya lagi.

Menurutnya, beliau yakin bahawa para pengundi di Johor dapat menilai sebaiknya dan dapat membuat pilihan yang tepat.

“Jadi, jangan terbelenggu dengan sentimen, dakyah-dakyah luar dan mereka yang datang daripada utara sebagai contoh… datang nak mengajar kita di Johor pula. Walhal mereka datang dari negeri yang lebih mundur, takkanlah kita mahu mengikuti contoh mereka yang jika dibandingkan dengan kita.

“Johor dah maju dan capai banyak kejayaan termasuklah menjadi negeri terpenting menyumbang ekonomi negara. Saya yakin pengundi di Johor lebih terbuka, waras dan rasional, tidak taksub serta fanatik dengan ikutan mana-mana parti politik. Pertimbangan mereka adalah untuk kebaikan kita sebagai sebab bangsa dan negara.

“Kita memang memanfaatkan tempoh berkempen ini untuk menerangkan kepada rakyat setelah sembilan bulan Kerajaan Perpaduan ini terbentuk. Pembentukan ini tidak lain dan tidak bukan adalah untuk kita pastikan soal negara serta kepentingan rakyat sentiasa diletakkan sebagai keutamaan,” katanya lagi.

Dalam pada itu, beliau turut yakin bahawa UMNO/BN sentiasa berpegang teguh dengan prinsip dipegang meskipun telah membentuk Kerajaan Perpaduan.

“Jadi, itu memang kita ambil peluang sepenuhnya untuk yakinkan lagi rakyat bahawa mengapa Kerajaan Perpaduan itu adalah formula dan pendekatan yang terbaik untuk negara kerana kita sentiasa mengamalkan kesederhanaan tanpa sebarang fahaman ekstremis mahupun konservatif.

“Ianya bukanlah satu perkara yang baik untuk negara Malaysia berbilang kaum. UMNO selama ini konsisten dengan prinsipnya, ideologi dan cuba lakukan secara terbaik bagi seluruh lapisan masyarakat pelbagai bangsa, memberikan keadilan kepada semua… dan kita tidak mahu hanya bermain sentimen kaum bangsa serta raja dibenarkan bertapak di negeri ini,” katanya lagi. – UMNO Online

@www.umnoonline.my

Dapatkan berita terkini UMNO terus ke Whatsapp Anda! Ikuti     Whatsapp Channel UMNO Online sekarang.