“Hakikatnya Tak Mungkin Malaysia Akan Berubah Menjadi Negara Sekular” – Dr Asyraf

BAKRI, 3 Sept – “Hakikatnya tak mungkin negara ini akan berubah menjadi negara sekular,” tegas Setiausaha Agung UMNO Datuk Dr Asyraf Wajdi Dusuki.

Demikian respon Dr Asyraf mengenai dakwaan pihak pembangkang Perikatan Nasional (PN) yang membuat tohmahan terkini kepada UMNO mengenai status negara ini.

Sebelum ini tambah Dr Asyraf, PN sering mengatakan keberadaan UMNO di dalam Kerajaan Perpaduan menyebabkan kesucian Islam dan kedudukan hak-hak istimewa orang Melayu terancam.


“Mereka (rakyat) masih lagi terbawa-bawa dengan fahaman dan tohmahan yang dilemparkan oleh pembangkang Perikatan Nasional bahawa keberadaan UMNO dalam Kerajaan Perpaduan ini menyebabkan Islam, kedudukan Melayu terancam dan terbaru mengatakan bahawa Malaysia akan menjadi sebuah negara sekular.

“Hakikatnya tak mungkin negara ini akan berubah menjadi negara sekular. Kita kena faham dahulu apa sebenarnya sekular. Sekular bermaksud memisahkan apa juga elemen-elemen agama dalam hal berkait dengan pentadbiran dan urusan kenegaraan,” katanya berhubung perkara tersebut.

Beliau ditemubual UMNO Online sejurus selesai sesi sembang santai bersama ahli-ahli parti Cawangan Parit Keroma, Jalan Dato’ Haji Kosai di sini, Sabtu petang.

Jelas Pengerusi Majlis Amanah Rakyat (MARA) itu lagi, contoh yang paling jelas negara sekular adalah Turki.

“Dalam Perlembagaan Turki Perkara 2 disebut ‘characteristics of turkish government is a secular system, it’s a secular state’ maknanya ia adalah negara sekular. Bila negara sekular kita tidak boleh membelanjakan dana kerajaan untuk pembangunan Islam, tidak boleh ada unsur-unsur agama dalam pentadbiran.

“Kalau kita tengok negara Turki baru beberapa tahun kebelakangan ini sahaja kakitangan awam dibenarkan pakai tudung, sekolah-sekolah agama tidak dibenarkan ada dibiayai kerajaan. Kalau ada, itu dibiayai swasta. Universiti tiada label-label universiti Islam kerana sekular.

“Saya pengalaman dalam dunia perbankan Islam dulu membantu Kerajaan Turki tak boleh ada label Islam dalam perbankannya. Itu contoh apabila negara itu sekular,” katanya.

Tetapi tambahnya, ini berbeza dengan Malaysia yang bukan negara sekular dan jasa UMNO sejak merdeka mengangkat martabat Islam.

“Malaysia disebutkan dalam Perlembagaan, Islam agama Persekutuan hasil daripada perjuangan UMNO. Kepimpinan kita terdahulu sebagai timbal balas apa yang diminta oleh British menerima kerakyatan daripada pelbagai kaum prinsip jus soli. Timbal balasnya kedudukan Islam mesti diletakkan di dalam Perlembagaan sebagai agama Persekutuan.

“Keistimewaan Melayu Perkara 153, institusi Diraja Melayu mesti didaulatkan dan dipertahankan. Bahasa Melayu sebagai bahasa rasmi Perkara 152. Jadi ini perkara yang melibatkan Perlembagaan,” ujarnya.

Malahan katanya lagi, jika mahu diubah Perlembagaan Persekutuan memerlukan dua pertiga Ahli Dewan Rakyat di Parlimen.

“Pertama kena dua pertiga (Dewan Rakyat). Bermakna Ahli Parlimen 148 orang, di mana Dap 148 orang? Sebab maksimum kerusi yang mereka ada sekarang ini 40 (kerusi). Akan datang pun mereka tidak akan bertanding di 74 kerusi Perikatan Nasional iaitu kerusi-kerusi Melayu (contohnya) di Kelantan dan Terengganu.

“Jadi, mana mungkin Dap akan ubah Perlembagaan hanya sekadar 40 (kerusi) sahaja. Mana mungkin Raja-Raja Melayu akan bersetuju untuk meminda Perlembagaan untuk mengubah Islam kepada sekular kerana dalam Perlembagaan nak pinda bab berkaitan Islam agama Persekutuan ataupun sebaliknya, hanya melalui dua cara.

“Pertama kena ada 148 (kerusi) dua pertiga dalam Dewan Rakyat. Yang kedua, mesti diperkenankan oleh Majlis Raja-Raja Melayu,” katanya.

Justeru tegasnya, jika wujud isu-isu tersebut yang dimainkan oleh PN, ia merupakan satu pembohongan.

“Jadi, kalau ada isu-isu ini yang terus dimainkan, saya kata ini pembohongan yang sengaja mahu mainkan sentimen perkauman, agama yang hanya kerana gilakan kuasa sanggup memperjudikan nasib rakyat secara menyeluruh. Tidak ada dalam dunia ini rakyat yang majoriti hak mereka terancam.

“UMNO sebagai sebuah parti mempertahankan agenda Islam, Melayu, Raja-Raja Melayu dan Bahasa Melayu akan terus mendaulatkan apa yang terkandung dalam Perlembagaan Persekutuan seiring dengan Perlembagaan UMNO,” katanya.

Berhubung dengan Pilihan Raya Kecil (PRK) bagi kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Simpang Jeram ini, Dr Asyraf berkata fokus UMNO adalah berkempen dan mendekati ahli-ahli parti yang akan mengundi di kawasan tersebut pada 9 Sept ini bagi memenangkan calon Pakatan Harapan sebagai wakil dari parti Kerajaan Perpaduan. – UMNO ONLINE


Dapatkan segala pautan dan media sosial UMNO di www.linktr.ee/umno #UMNOBangkit