PRK Pulai Penentu Kedudukan Dua Pertiga Kerajaan Perpaduan – Mohd Jafni

PULAI, 2 Sept – Kerusi Parlimen Pulai yang dipertandingkan pada Pilihan Raya Kecil (PRK) kali ini merupakan penentu kepada kedudukan dua pertiga parti-parti Kerajaan Perpaduan di peringkat persekutuan, kata Timbalan Ketua UMNO Bahagian Kulai, Datuk Mohd Jafni Md Shukor.

Ini kerana katanya, kedua-dua kerusi yang dipertandingkan iaitu Parlimen Pulai dan Dewan Undangan Negeri (DUN) Simpang Jeram ini amat penting untuk mengukuhkan lagi kekuatan Kerajaan Perpaduan bagi mentadbir negara serta Negeri Johor.

“Sekarang di Johor ini ada dua PRK iaitu bagi kerusi Parlimen Pulai dan satu lagi di DUN Simpang Jeram.

“Setakat ini proses dari hari penamaan calon dan berkempen berjalan dengan baik. Sudah tentunya di kedua-dua kerusi ini sangat penting untuk kita menangkan di peringkat kerajaan sebab di Johor ini kita ada 40 DUN Barisan Nasional (BN), campur dengan Pakatan Harapan (PH) kita ada 53 daripada 56 kerusi.

“Jadi, kerusi di DUN Simpang Jeram ini merupakan kerusi yang dimenangi oleh Allahyarham Datuk Seri Salahuddin Ayub pada Pilihan Raya Negeri (PRN) yang lepas,” katanya kepada UMNO Online.

Tegasnya yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Bukit Permai, penerimaan para pengundi selepas PRN lalu agak berbeza dan beliau yakin para pengundi di Johor dapat membuat pilihan sebaiknya.

“Tetapi, selepas PRN di enam negeri sebelum ini kita lihat penerimaan para pengundi agak berbeza dan kita cuba sekat gelombang hijau untuk masuk ke DUN Simpang Jeram khasnya.

“Sudah tentulah para pengundi di Johor ini sebagai ‘Bangsa Johor’, caranya agak berbeza berbanding negeri-negeri lain. Dengan cara ‘Bangsa Johor’ ini dari segi kaedahnya, sudah tentulah dua kerusi ini kita akan pastikan dimenangi oleh Kerajaan Perpaduan.

“Untuk Parlimen Pulai ini kalau kita lihat pada keseluruhan kerusi parlimen yang ada ialah 222. Kita di peringkat Kerajaan Perpaduan sebelum ini mempunyai 148 kerusi sebelum pemergian penyandang kerusi Parlimen Pulai,” katanya lagi.

Menurut Mohd Jafni lagi, kedudukan Kerajaan Perpaduan yang sebelum ini mempunyai majoriti dua pertiga perlulah dikekalkan bagi mengukuhkan lagi kerajaan persekutuan dan negeri.

“Kita tidak dapat majoriti dua pertiga sekiranya hanya ada 147 kerusi. Sebab itu hari ini masing-masing (di pihak Kerajaan Perpaduan dan pembangkang) berusaha sebaik mungkin untuk memenangi kerusi parlimen yang menentukan majoriti ini.

“Di peringkat kami Kerajaan Perpaduan di Johor ini tentulah kedua-dua kerusi ini bukan setakat di parlimen dan juga DUN sama-sama penting. Kita tidak mahu lagi pembangkang masuk ke bumi Johor apatah lagi dalam pentadbiran kerajaan,” katanya lagi.

Kerusi Parlimen Pulai menyaksikan saingan tiga penjuru dalam Pilihan Raya Kecil (PRK) kawasan berkenaan yang akan berlangsung 9 September nanti.

Bekas Speaker Dewan Undangan Negeri (DUN), Suhaizan Kayat, disahkan sebagai calon Pakatan Harapan (PH) di kerusi parlimen berkenaan.

Suhaizan yang juga Naib Pengerusi Parti Amanah Negara (Amanah) Johor dan Ketua Amanah Bahagian Pulai akan ditentang calon Perikatan Nasional (PN), Zulkifli Jaafar. – UMNO Online

@www.umnoonline.my

Dapatkan berita terkini UMNO terus ke Whatsapp Anda! Ikuti     Whatsapp Channel UMNO Online sekarang.