Kerjasama Erat Parti-parti Kerajaan Perpaduan Menangkan Calon PRK

 

KUALA LUMPUR, 2 Sept – Presiden UMNO, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi meluahkan keyakinan dengan kejayaan dua Pilihan Raya Kecil (PRK) hasil daripada kerjasama parti-parti Kerajaan Perpaduan di Parlimen Pulai, Dewan Undangan Negeri (DUN) Simpang Jeram termasuk Pelangai.

Jelas beliau, ini kerana kerjasama erat telah ditunjukkan termasuk daripada kepimpinan dan jentera UMNO/BN serta Friends of BN meskipun calon yang dipertandingkan adalah daripada Pakatan Harapan (PH).

 

“Kita lihat di Pulai, Simpang Jeram dan Pelangai yang akan menjadi satu mercu tanda untuk kita semua, saya yakin.

“Ya, Kimma dan rakan-rakan parti teras BN tidak bertanding tetapi tetap turun. Selepas ini pun saya akan turun ke Johor walaupun yang bertanding bukan UMN/BN tetapi atas nama Kerajaan Perpaduan, kita tetap turun membantu rakan-rakan kerjasama.

“Sebab mereka juga akan membantu kita insya-Allah di dalam PRK DUN Pelangai apabila kita meletakkan calon UMNO yang mewakili BN,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika berucapan pada Perhimpunan Agung Kongres Indian Muslim Malaysia (Kimma) ke-44, yang dihadiri oleh Presiden Kimma, Datuk Seri Syed Ibrahim Kader Setiausaha Agung BN, Datuk Seri Dr Zambry Abd Kadir, Setiausaha Agung baharu UMNO, Datuk Dr Asyraf Wajdi Dusuki, serta kepimpinan parti tersebut.

Bercakap berkenaan penyertaan Kimma dalam BN, Ahmad Zahid yang juga Timbalan Perdana Menteri berkata ianya perlu dilakukan mengikut Perlembagaan BN.

Beliau bagaimanapun memuji kesetiaan dan komitmen yang ditunjukkan parti itu bersama BN dalam menghadapi dinamiki politik negara.

“Bukan mereka sahaja tetapi rakan-rakan dalam Friends Of BN juga mempunyai pendirian yang sama tetapi kita perlu menghormati perlembangaan BN berkenaan penerimaan sesuatu parti mesti dibuat sebulat suara bukan suara majoriti.

“Ini menjadi kekangan kepada kami dan insya-Allah kita akan lihat ada perubahan yang kami sama-sama akan dakapi.

“Saya amat yakin kerana yang penting adalah kebersamaan itulah yang selama ini mereka dukung apabila UMNO snediiri menerima Kimma sebagai parti gabungan.

“Dan mereka adalah sebahagian daripada UMNO secara rasmi, ini bukan permasalahan pun untuk kita bersama-sama dalam wadah UMNO,” ujar beliau.

Sementara itu, Ahmad Zahid turut sama memberikan respon berkenaan kenyataan Ahli Majlis Kerja Tertinggi (MKT) UMNO Datuk Nur Jazlan Mohamed yang menyarankan supaya Dap menggugurkan agenda Negara Sekular dan slogan Malaysian Malaysia dalam perlembagaan parti itu.

Katanya, ianya merupakan pandangan peribadi daripada pemimpin tersebut dan bukan pendirian UMNO.

“Itu pendapat peribadi… itu bukan pendirian parti. Kita menghormati rakan-rakan komponen dalam Kerajaan Perpaduan.

“… dan jika ada pun permintaan itu biar kita menggunakan saluran melalui mesyuarat kita,” ujar beliau. – UMNO Online

 

 

@www.umnoonline.my

Dapatkan berita terkini UMNO terus ke Whatsapp Anda! Ikuti     Whatsapp Channel UMNO Online sekarang.