Bersatu Hati Dan Dukung Erat Semangat Perpaduan Sempena Merdeka

KUALA LUMPUR, 31 Ogos – Presiden UMNO, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi menyeru rakyat bersatu hati dan mendukung erat semangat perpaduan berteraskan agenda Malaysia MADANI demi kesejahteraan dan kemakmuran rakyat dan negara.

Katanya bersempena sambutan Hari Kebangsaan ke-66 yang dirai pada hari ini.

“Hari ini, adalah tarikh yang penuh bersejarah, 31 Ogos 2023. Negara kita akan menyambut Hari Kebangsaan sempena 66 tahun negara Malaysia yang kita semua cintai ini mencapai kemerdekaan.

“Saya menyeru, marilah kita bersama-sama bersatu hati dan mendukung erat semangat perpaduan berteraskan agenda Malaysia MADANI demi kesejahteraan dan kemakmuran rakyat dan negara selari dengan tema Hari Kebangsaan 2023 – Malaysia Madani, Tekad Perpaduan Penuhi Harapan,” katanya menerusi satu hantaran di Facebook.

Beliau yang juga Timbalan Perdana Menteri dalam pada itu berkata, bagi meraikan semangat sayang kepada negara, pelbagai lagu telah dihasilkan mengikut peredaran masa bagi mengangkat semangat patriotik dalam kalangan rakyat.

“Dahulu, detik 31 Ogos diraikan dengan menyanyi lagu kemerdekaan yang didendangkan seperti Tanggal 31 Ogos, Warisan, Bahtera Merdeka dan seumpamanya.

“Tetapi sekarang saya tengok anak muda menyanyikan lagu dengan citarasa mereka seperti Standing in The Eyes of The World yang dinyanyikan oleh Ella dan lagu Negaraku yang Faizal Tahir nyanyikan.

“Walaupun kita berlainan era, rentak dan selera nyanyian juga berbeza, matlamat kita tetap sama, kita mahu mempertahankan apa yang telah dicapai selama ini melalui semangat patriotisme dan persefahaman, tanpa mengira latar belakang bangsa dan ideologi politik,” ujar beliau. – UMNO Online

@www.umnoonline.my

Dapatkan berita terkini UMNO terus ke Whatsapp Anda! Ikuti     Whatsapp Channel UMNO Online sekarang.