Tun M Keliru Larangan Mainkan Isu 3R – Puad

KUALA LUMPUR, 30 Ogos – Ahli Majlis Kerja Tertinggi (MKT) UMNO, Datuk Dr Mohd Puad Zarkashi menyifatkan bekas Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad (Tun M) keliru berkenaan isu agama, raja dan bangsa (3R).

Jelas beliau, sesiapa sahaja boleh bercakap berkenaan tiga eleman tersebut namun perlu memahami bahawa sebarang unsur hasutan adalah tidak dibenarkan.

“Semalam Tun M menulis tentang 3R dalam Facebook beliau. Dia tanya kenapa tidak boleh cakap pasal 3R. Siapa kata tidak boleh?

“Memang bebas cakap pasal 3R. Yang tidak boleh ialah jika ada unsur hasutan yang mengancam keselamatan negara.

“Bila kena dakwa di mahkamah, jawablah. Mahkamah saja yang boleh buat keputusan. Tun M tidak betul bila dakwa tidak boleh cakap pasal 3R. Itu pun menghasut,” katanya menerusi satu hantaran di Facebook.

Sebelum itu, Tun Mahathir dalam satu kenyataan di Facebook mendakwa isu 3R itu terlalu umum dan kerajaan tidak berhak menghalang mana-mana pihak membicarakannya secara terbuka.

Sementara itu, Timbalan Perdana Menteri yang juga Presiden UMNO, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi turut memberikan respon berkenaan hantaran Tun Mahathir tersebut.

Beliau berkata tindakan bekas Ahli Parlimen Langkawi itu yang mempersoalkan larangan isu 3R dibicarakan secara terbuka kerana beliau mempunyai kepentingan peribadi. – UMNO Online

@www.umnoonline.my

Dapatkan berita terkini UMNO terus ke Whatsapp Anda! Ikuti     Whatsapp Channel UMNO Online sekarang.