Pas Jangan Sombong, Angkuh… Bukan Mereka Sahaja Perjuang Islam – Asyraf Wajdi

KUALA LUMPUR, 30 Ogos – Setiausaha Agung UMNO, Datuk Dr Asyraf Wajdi mengingatkan para pimpinan Pas untuk tidak sombong dan angkuh seolah-olah hanya parti mereka sahaja memperjuangkan Islam.

Ini kerana katanya, beliau kecewa dengan kenyataan Menteri Besar Kelantan, Datuk Mohd Nassuruddin Daud yang mendakwa rakyat Kelantan menyokong perjuangan Islam sehingga mereka menang 29 daripada 31 kerusi pada Pilihan Raya Negeri (PRN) lalu.

“Saya sedikit kecewa dengan kenyataan Menteri Besar baru Kelantan yang kononnya rakyat Kelantan memberi sokongan kepada perjuangan Islam sehingga Pas/Perikatan Nasional memperoleh 29 daripada 31 kerusi pada Pilihan Raya Negeri (PRN) lalu.

“Kita jangan sesekali menafikan sumbangan orang malah parti lain dalam memperjuangkan Islam di Malaysia. UMNO umpamanya adalah parti utama yang mempelopori agenda pengembangan Islam sejak Merdeka sehinggalah ke hari ini.

“Jasa UMNO meletakkan Islam sebagai agama persekutuan dalam perlembagaan (Perkara 3) memberikan manfaat kepada pengembangan syiar dan juga syariat Islam sehinggakan kita dapat lihat dalam pelbagai sektor suburnya Islam dibangunkan di negara kita tercinta,” katanya menerusi satu hantaran video di laman Facebooknya hari ini.

Jelasnya, pelbagai usaha telah dilakukan oleh UMNO/Barisan Nasional (BN) ketika memerintah negara dahulu terutamanya dari sudut menegakkan agama Islam.

“Dalam bidang pendidikan umpamanya, dasar pendidikan yang digubal sejak UMNO memerintah, hari ini kita dapat lihat kita mempunyai guru-guru pendidikan Islam di bawah Kementerian Pendidikan sahaja lebih daripada 101,730.

“Ada pelbagai sekolah aliran agama. Ini termasuk 229 Sekolah Agama Bantuan Kerajaan, 61 buah Sekolah Menengah Kebangsaan Agama (SMKA). Kta ada 12 Sekolah Berasrama Penuh Integrasi. Kita ada tiga Sekolah Menengah Agama Persekutuan, 588 Kelas Aliran Agama (KAA).

“Ini tidak termasuk Universiti Islam Antarabangsa (UIAM), Universiti Sains Islam Malaysia (USIM), Fakulti Pengajian Islam Universiti Kebangsaan Malaysa (UKM) dan macam-macam lagi hampir di kesemua institusi pendidikan awam mempunyai modul pembangunan ataupun tasawuf Islam.

“Semuanya di bawah agenda Dasar Pendidikan Islam yang dipelopori oleh UMNO. Ini tidak termasuk dasar J-QAF yang pernah diperkenalkan oleh UMNO untuk memastikan anak-anak yang belajar di sekolah rendah selepas saja darjah enam sudah khatam al-Quran,” katanya lagi.

Menurutnya, itu belum lagi termasuk dengan segala institusi dan agensi persekutuan yang ditubuhkan dan ‘dijaga’ oleh UMNO ketika menjadi kerajaan.

“Ini baru pendidikan, kita belum lagi membicarakan soal institusi-institusi, agensi-agensi Persekutuan yang ditubuhkan oleh UMNO ketika menjadi kerajaan. Termasuk menaik taraf Jabatan Kemajuan Islam kepada JAKIM dengan peruntukan hari ini sudah meningkat ke RM1.4 bilion.

“Semua ini adalah perjuangan pemimpin-pemimpin UMNO, semuanya apabila adanya ‘political will’ atau kemahuan politik dilandasi oleh sebuah parti yang perlembagaannya adalah untuk mempertahan, menegak dan mengembangkan ajaran Islam seperti termaktub di dalam perlembagaan.

“Memang benar, UMNO bukanlah parti yang sempurna dan UMNO harus terus memperbaiki dan menambah baik parti yang telah lama dan banyak jasanya kepada ummah negara kita ini,” katanya lagi.

Dalam pada itu, beliau turut memaklumkan bahawa UMNO/BN tidak pernah menafuikan sumbangan mana-mana pihak termasuklah parti lain.

“Apa yang dilaksanakan oleh UMNO sejak dulu sebagai sebuah parti Islam yang progresif sederhana walaupun tidak berlabel Islam. Kita sentiasa mengambil pendekatan tadaruj ataupun secara bertahap dan secara hikmah.

“UMNO tidak pernah menafikan sumbangan mana-mana pihak termasuk parti-parti lain kerana yang paling penting, kita sama-sama memperjuangkan Islam. Justeru, saya ingin mengingatkan dan mengharapkan dan juga Menteri Besar Kelantan yang baharu jangan sombong dan angkuh seolah-olah mereka saja memperjuangkan Islam manakala orang lain semuanya sesat dan melawan Islam,” katanya lagi. – UMNO Online

@www.umnoonline.my

Dapatkan berita terkini UMNO terus ke Whatsapp Anda! Ikuti     Whatsapp Channel UMNO Online sekarang.