Anuar Yakin Pengundi Pilih Kerajaan Perpaduan, Kekalkan Kemenangan PH Di DUN Simpang Jeram

BAKRI, 30 Ogos – Kemenangan calon Pakatan Harapan (PH) pada Pilihan Raya Kecil (PRK) Simpang Jeram penting bagi meneruskan kesinambungan pentadbiran kerajaan, menurut Ahli Dewan Undangan Negeri Johor (ADUN) Pemanis, Anuar Abd Manap.

Katanya yang juga Timbalan Ketua UMNO Bahagian Sekijang, beliau yakin dan memberi jaminan bahawa jentera parti komponen itu akan terus bekerjasama dengan PH bagi menyokong dan memenangkan calon Kerajaan Perpaduan di Johor.

“Saya menjamin dan percaya jentera-jentera yang ada terutamanya dari UMNO/Barisan Nasional (BN) akan terus berkerja keras untuk pastikan bahawa pengundi-pengundi dari UMNO/BN akan membantu kemenangan calon PH, Nazri Abdul Rahman bagi PRK Simpang Jeram ini.

“Sebenarnya UMNO/BN memberi kerjasama yang sangat baik dan sehingga ke saat ini pun masih lagi mengadakan perbincangan, mesyuarat dan sebagainya untuk memperoleh kemenangan dan menawan semula kerusi di DUN Simpang Jeram,” katanya kepada UMNO Online, di sini.

Tambah Anuar, calon yang diketengahkan ini adalah mesra masyarakat dan yakin akan mampu memenangi PRK dengan majoriti yang amat baik.

“Kita mahu lihat pada sidang DUN Johor, wakil sebelum ini nampak mesra dan seimbang. Sekiranya beliau menang pada PRK Simpang Jeram ini, ia akan terus beri kerjasama yang sama seperti sebelum ini dan secara tidak langsung beri manfaat yang besar terutamanya pada ‘Bangsa Johor’ dan negeri ini,” ujarnya.

Terdahulu pada Sabtu lalu, PRK bagi Parlimen Pulai dan Simpang Jeram bermula dengan diadakan penamaan calon.

Ianya menyaksikan pertembungan tiga penjuru yang melibatkan daripada Perikatan Nasional (PN) dan calon Bebas bagi DUN simpang Jeram.

PRK berkenaan diadakan berikutan kekosongan luar jangka kerusi Parlimen Pulai dan DUN Simpang Jeram berikutan kematian penyandangnya Datuk Seri Salahuddin Ayub pada 23 Julai lepas. – UMNO Online


Dapatkan segala pautan dan media sosial UMNO di www.linktr.ee/umno #UMNOBangkit