Tunjuk Teladan… Mohd Puad Cabar Muhyiddin Buat Kenyataan Terbuka

BATU PAHAT, 28 Ogos – Ahli Majlis Kerja Tertinggi (MKT) UMNO, Datuk Dr Mohd Puad Zarkashi mencabar Pengerusi Perikatan Nasional (PN), Tan Sri Muhyiddin Yassin untuk membuat kenyataan terbuka berkenaan isu menantunya melarikan diri ke luar negara.

Ini kerana katanya, Polis Antarabangsa (Interpol) telah mengeluarkan notis merah terhadap menantu dan peguamnya yang menghilangkan diri sejak Mei lalu.

“Akhirnya polis Interpol telah keluar notis merah terhadap menantu Muhyiddin. Adlan Bernan dan Mansoor Saat yang lari sejak bulan Mei. Kenapa Mansoor turut lari. Rahsia apa?

“Sepatutnya Muhyiddin dengan slogan PN-Best tunjuk teladan yang baik. Dia masih mahu jadi Perdana Menteri (PM)? Suruhlah menantu balik. Takut apa kalau tidak bersalah.

“Pernahkah anak-anak bekas PM melarikan diri? Muhyiddin dicabar buat kenyataan terbuka. Jangan malukan PN-BEST (Perihatin, Bersih, Stabil),” katanya menerusi hantaran di laman Facebooknya.

Sementara itu, Mohd Puad turut beranggapan bahawa kerjasama 19 parti politik yang membentuk Kerajaan Perpaduan adalah berbentuk progresif dan menolak ‘ketaksuban ekstrem’.

“Apabila 19 parti bekerjasama membentuk Kerajaan Perpaduan, ia adalah politik progresif untuk kestabilan demi kesejahteraan rakyat. Perseteruan tolak tepi.

“Ia berlawan dengan politik ‘ketaksuban ekstrem’. Apabila Pas berpisah dengan Dap, politik suka menghukum kembali menguasai minda politik Melayu. Johor akan halang politik toksik ini merebak,” katanya lagi.

Pada Jumaat media melaporkan menantu Muhyiddin Yassin dan seorang peguam telah diletakkan dalam senarai notis merah Polis Antarabangsa (Interpol) kerana dikehendaki Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM).

Dua individu itu ialah Muhammad Adlan Berhan, yang berkahwin dengan anak Muhyiddin, Nabilah dan Mansoor Saat, seorang peguam serta tokoh penting dalam NERS Sdn Bhd. – UMNO Online


Dapatkan segala pautan dan media sosial UMNO di www.linktr.ee/umno #UMNOBangkit