Sudah Tiba Masa Peguam Negara Gugur Kes Pendakwaan Terpilih

KUALA LUMPUR, 26 Ogos – Pengarah Komunikasi UMNO, Datuk Lokman Noor Adam beranggapan bahawa sudah tiba masanya untuk Peguam Negara menggugurkan semua kes pendakwaan terpilih yang melibatkan para kepimpinan UMNO.

Jelasnya, segala dokumen yang bocor sebelum ini membuktikan segala pendakwaan tersebut penganiayaan bekas Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad.

“Dah tiba masanya Peguam Negara mengugurkan semua kes pendakwaan terpilih ke atas Presiden UMNO, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi dan Datuk Seri Mohd Najib Razak serta para pimpinan UMNO lain yang dianiaya Tun Mahathir.

“Jika sebelum ini bocor dokumen mengenai Kes Aabar Ipic yang membuktikan tujuh DPP dan lima Pegawai Penyiasat menyatakan bahawa tiada kes melibatkan Datuk Seri Najib, hari ini satu lagi dokumen yang mengesahkan bahawa DPP Ahmad Akram Gharib menyatakan dengan jelas bahawa Jabatan Peguam Negara tidak cukup bukti untuk mendakwa Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi tular,” katanya nenerusi hantaran di laman Facebooknya.

Beliau turut berharap agar imej Jabatan Peguam Negara dapat dipulihkan.

“Apa yang terbongkar selama ini jelas membuktikan bahawa pendakwaan terhadap pemimpin-pemimpin UMNO zaman Mahathir ini adalah pendakwaan yang berniat jahat terpilih dan bermotifkan politik.

“Saya harap Peguam Negara dapat mengambil keputusan yang betul dengan menghentikan semua pendakwaan-pendakwaan ini.

“Pulihkan imej Jabatan Peguam Negara yang dirosakkan oleh Regim Mahathir,” katanya lagi. – UMNO Online

@umnoonline

Dapatkan berita terkini UMNO terus ke Whatsapp Anda! Ikuti     Whatsapp Channel UMNO Online sekarang.