WarisPEKEMBAR, NGO Tampil Pertahan Institusi Presiden UMNO Dan Kerajaan Perpaduan

KUALA LUMPUR, 25 Ogos – Beberapa badan bukan kerajaan (NGO) hari ini tampil mempertahankan Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi dari desakan agar beliau melepaskan jawatan sebagai Presiden UMNO dalam satu himpunan di depan Ibu Pejabat UMNO, di sini sebentar tadi.

Pengerusi Sekretariat Gabungan NGO Melayu Islam (WarisPEKEMBAR) Perlis, Shahbudin Embun berkata, himpunan tersebut turut disertai dengan matlamat untuk menegakkan keadilan buat mantan Presiden UMNO dan bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Mohd Najib Razak.

“Alhamdulilah, matlamat kami adalah untuk bersolidariti bersama dengan Presiden UMNO, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi. Keduanya, kami juga mahu bersolidariti dengan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim supaya Kerajaan Perpaduan ini terus kekal.

“Di samping itu, menegakkan keadilan untuk bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Mohd Najib Tun Razak. Ini juga adalah merupakan salah satu perjuangan kami dari NGO-NGO yang berada di sini kerana kami tahu bahawa dalam kes beliau ada beberapa ‘miscarriage of justice’.

“Jadi kami mahu kerajaan yang ada pada hari ini ratifikasikan kes tersebut bagi mengelakkan kegelisahan ahli-ahli UMNO kerana kami tahu bahawa Datuk Seri Najib adalah ‘the party man’ begitu juga dengan Datuk Seri Ahmad Zahid. Mereka merupakan tokoh dan pemimpin kami yang utama,” katanya pada satu sidang media selepas majlis ‘Himpunan Aman Solidariti Bersama Presiden UMNO dan Kerajaan Perpaduan’.

Menurutnya, himpunan solidariti ini akan diadakan berskala besar pada malam 30 Ogos 2023 di Terengganu dan bakal menghimpunkan 5,000 orang peserta.

“Saya ingin mengumumkan pada 30 Ogos, malam ambang merdeka akan diadakan secara besar-besaran ‘Solidariti Bersama Presiden dan Kerajaan Perpaduan’ di Kemaman, kawasan Dewan Undangan Negeri (DUN) Chukai iaitu di Chendor.

“Kami telah pun menyediakan 5,000 orang peserta dan di situ merupakan ‘grand finale’. Kami juga akan menyerang dan memperkuatkan UMNO di sebelah pantai timur,” katanya lagi.

Desakan untuk mengundurkan Ahmad Zahid daripada memimpin parti keramat Melayu itu mula kedengaran apabila UMNO/Barisan Nasional (BN) hanya berjaya memenangi 30 kerusi parlimen pada Pilihan Raya Umum (PRU) ke-15 lalu.

Pilihan Raya Negeri (PRN) yang lalu pula turut menyaksikan kegagalan UMNO untuk memenangi sebahagian besar kerusi ditandingi. Terdapat beberapa pemimpin, sama ada dari dalam atau di luar parti itu mula mendesak Presidennya, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi mengambil tanggungjawab dan meletak jawatan. – UMNO Online

@umnoonline

Dapatkan berita terkini UMNO terus ke Whatsapp Anda! Ikuti     Whatsapp Channel UMNO Online sekarang.