Menara Dato’ Onn Jadi Saksi Himpunan Solidariti Presiden Dan Kerajaan Perpaduan

KUALA LUMPUR, 25 Ogos – Sebuah perhimpunan aman diadakan pada petang ini bagi menzahirkan solidariti kepada Presiden UMNO, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi dan Kerajaan Perpaduan.

Himpunan aman tersebut dianjurkan oleh Waris Perkembar Malaysia dengan tema ‘Bersatu Bersama Mempertahan Kerukunan, Keharmonian dan Kewibawaan Institusi Presiden UMNO Serta Kelangsungan Kerajaan Perpaduan’.

Bermula pada jam 2.30 petang sesudah solat Jumaat, himpunan aman ini diadakan bagi memperkukuhkan institusi Presiden UMNO yang pada ketika ini cuba diganggu gugat dari luar mahupun dalam.

Diadakan di hadapan bangunan bersejarah UMNO, Menara Dato’ Onn, himpunan ini menyatakan sokongan tidak berbelah bahagi kepada kepimpinan utama saat parti dilanda badai dan ujian.

Desakan untuk mengundurkan Ahmad Zahid daripada memimpin parti keramat Melayu itu mula kedengaran apabila UMNO/Barisan Nasional (BN) hanya berjaya memenangi 30 kerusi parlimen pada Pilihan Raya Umum (PRU) ke-15 lalu.

Pilihan Raya Negeri (PRN) yang lalu pula turut menyaksikan kegagalan UMNO untuk memenangi sebahagian besar kerusi ditandingi. Terdapat beberapa pemimpin, sama ada dari dalam atau di luar parti itu mula mendesak Presidennya, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi mengambil tanggungjawab dan meletak jawatan.

UMNO yang bertanding di atas tiket BN hanya menang di 19 daripada 108 kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) yang ditandingi parti itu, iaitu bersamaan dengan 17.6 peratus, paling kecil berbanding parti lain.

Di sebalik desakan itu, ada juga pemimpin UMNO yang tetap mahu Ahmad Zahid terus kekal menerajui parti keramat Melayu itu dan tidak dijadikan kambing hitam untuk dipertanggungjawabkan atas kekalahan teruk parti itu pada PRN lalu. – UMNO Online

@www.umnoonline.my

Dapatkan berita terkini UMNO terus ke Whatsapp Anda! Ikuti     Whatsapp Channel UMNO Online sekarang.