Kerjasama, Muafakat Ramuan Terbaik Berdepan Situasi Politik Mencabar – Ahmad Zahid

ISKANDAR PUTERI, 25 Ogos – Situasi politik yang mencabar memerlukan kerjasama erat dan permuafaatan yang cukup jitu antara Barisan Nasional (BN) dan Pakatan Harapan (PH) untuk berdepan Pilihan Raya Kecil (PRK) yang akan berlangsung di Johor dan Melaka.

Pengerusi Barisan Nasional (BN), Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi berkata penyatuan dan perpaduan yang ada di Johor dan Melaka akan memungkinkan satu keputusan yang terbaik dicapai pada PRK itu nanti.

“Kita akan berada dalam situasi pendakian yang agak licin permukaan politiknya… namun saya amat yakin kepimpinan BN dan PH di Johor ia akan memungkinkan kejayaan…insya-Allah.

“PRN lalu adalah satu ibrah… tetapi saya amat yakin di Johor ini penyatuan dan perpaduan yang ada akan memberikan satu kekuatan kepada kita… atas kekuatan jentera BN/PH, mereka akan ditolak,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika berucap pada Majlis Perjumpaan Perdana Menteri bersama pimpinan kerajaan perpaduan di Johor.

Turut serta Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim; Pengerusi BN Johor, Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin; Menteri Besar Johor, Datuk Onn Hafiz Ghazi dan pimpinan yang lain.

Ahmad Zahid yang juga Timbalan Perdana Menteri seterusnya menambah beliau sendiri akan mengiringi calon PH ke pusat penamaan calon PRK Parlimen Pulai, esok.

“Sebagai optik yang baik saya akan iringi calon PH esok ke pusat penamaan calon PRK Parlimen Pulai dan akan pergi ke Simpang Jeram… ianya bukan sekadar optik rakan perpaduan tetapi saya amat yakin komitmen yang ditunjukkan oleh Datuk Seri Khaled  dan Menteri Besar, Datuk Seri Onn Hafiz Ghazi yang teraju Johor pasti kombinasi terbaik.

“Kita perlu terjemahkan… tidak ada jentera BN dan PH berasingan dan insya-Allah kita akan bersama. Keserasian telah ditunjukkan bukan sahaja di peringkat nasional tetapi negeri dan ada sedikit kekurangan di akar umbi…kita akan perjelas ke peringkat akar umbi apa yang bermain di kotak minda mereka,” ujarnya lagi. – UMNO Online


Dapatkan segala pautan dan media sosial UMNO di www.linktr.ee/umno #UMNOBangkit