Hubungan Baik Antara Pusat Dan Negeri Penting Demi Manfaat Rakyat – Khaled
ISKANDAR PUTERI, 25 Ogos – Pengerusi Barisan Nasional (BN) Johor, Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin berkata hubungan baik antara kerajaan pusat dan negeri amat penting demi manfaat rakyat Johor.
Justeru beliau berpandangan kerajaan negeri yang diterajui BN pada hari ini selari dengan pembentukan Kerajaan Perpaduan di peringkat Persekutuan dan ianya diharap benar-benar memberi banyak manfaat untuk rakyat dan negeri Johor.
“Majlis hari ini… pertemuan bersejarah kerana ini kali pertama pertemuan antara parti yang mendukung Kerajaan Perpaduan di negeri Johor.
“Ini juga pertemuan pertama Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim dengan kepimpinan BN peringkat negeri. Mudah-mudahan pertemuan yang singkat ini beri makna dan manfaat kepada semua,” katanya di sini, hari ini.
Beliau berkata demikian ketika berucap pada Majlis Perjumpaan Perdana Menteri bersama pimpinan kerajaan Perpaduan di Sunway Big Box Hotel, Iskandar Puteri.
Turut serta Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim; Timbalannya yang juga Pengerusi BN, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi; Menteri Besar Johor, Datuk Onn Hafiz Ghazi dan pimpinan yang lain.
Khaled seterusnya menambah pertemuan pada hari ini juga menjelaskan segala-galanya dan tanda penzahiran sokongan kepada Kerajaan Perpaduan.
“Himpunan ini adalah penzahiran tanda sokongan dan komitmen BN Johor terhadap Kerajaan Perpaduan.
“BN Johor sedar… kita akui betapa penting hubungan akrab antara negeri dan persekutuan dan kebetulan kerajaan johor diterajui BN… penting untuk negeri berbaik dengan peringkat pusat untuk manfaat rakyat dan ini matlamat kita,” tambahnya lagi. – UMNO Online