Jazlan Tempelak MB Kelantan, Perjuangan Islam Bukan Hak Eksklusif Parti Tertentu

KUALA LUMPUR, 24 Ogos – Pengerusi Badan Perhubungan UMNO Negeri Kelantan, Datuk Ahmad Jazlan Yaakub menempelak dakwaan Menteri Besar Kelantan, Datuk Mohd Nassuruddin Daud yang melabel Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Barisan Nasional (BN) dan Pakatan Harapan (PH) sebagai melawan perjuangan Islam.

Katanya, tidak mungkin wakil rakyat daripada UMNO/BN menentang perjuangan Islam sedangkan parti ini sejak sekian lama membawa syiar dan agenda Islam sebagai teras kepada membina negara bangsa.

“UMNO Kelantan kesal dan berasa amat tersinggung dengan pernyataan angkuh berunsur fitnah daripada Menteri Besar Kelantan yang membawa maksud bahawa dua ADUN daripada BN dan PH melawan perjuangan Islam.

“Sementelah ianya bukanlah hak eksklusif sesebuah parti tertentu sahaja,” katanya menerusi satu kenyataan.

Jelas beliau, kenyataan tersebut boleh menggugat keharmonian hubungan sesama umat Islam di negeri Kelantan sejak budaya Takfiri (Kafir Mengkafir) terhadap saudara seagama menjadi mainan ahli politik untuk menghalalkan tindakan mereka.

“Pernyataan seperti ini sangat bahaya kerana ianya boleh membawa interpretasi lain kepada masyarakat seolah-olah Islam ini milik parti Pas sahaja, sedangkan orang Melayu Islam di dalam BN dan PH juga menjalankan kewajipan Rukun Islam yang sama,” katanya.

Ahmad Jazlan dalam pada itu berharap Menteri Besar untuk fokus kepada agenda pembangunan negeri dan berhenti daripada mengeluarkan sentimen yang tidak berasas khususnya melibatkan agama.

“Pesanan ikhlas saya kepada Menteri Besar, tadbirlah negeri ini dengan panduan Al Quran dan Hadith yang betul, jagalah tutur kata apabila berbicara, peliharalah keharmonian hubungan antara saudara semuslim dan carilah titik persamaan, bukannya perbezaan yang boleh memecah belahkan umat Islam.

“Laksanakan tanggungjawab yang dikurniakan ini dengan sebaik mungkin kerana ianya datang dengan amanah yang berat oleh Allah SWT kepada seorang pemimpin Islam,” katanya.

Terdahulu, kenyataan Mohd Nassuruddin itu mendapat respon daripada ADUN Kota Lama, Dr Hafidzah Mustakim (PH) dan ADUN Galas, Mohd Syahbuddin Hashim (BN) dan memberi tempoh tujuh hari kepada Menteri Besar membuat permohonan maaf secara terbuka.

Mereka turut memaklumkan tindakan memfailkan saman sivil di mahkamah akan dilakukan jika permohonan maaf berkenaan gagal dibuat. – UMNO Online

@www.umnoonline.my

Dapatkan berita terkini UMNO terus ke Whatsapp Anda! Ikuti     Whatsapp Channel UMNO Online sekarang.