Pamer Prestasi Baik Tadbir Negara, Kembalikan Keyakinan Rakyat Pada UMNO/BN – Lokman Adam
KUALA LUMPUR, 23 Ogos – Pengarah Komunikasi UMNO Malaysia, Datuk Lokman Noor Adam yakin bahawa rakyat Malaysia akan kembali menyokong UMNO/Barisan Nasional (BN) sekiranya parti ini menunjukkan yang prestasi baik semasa mentadbir negara di bawah Kerajaan Perpaduan.
Jelasnya, sekiranya UMNO konsisten mempertahankan empat perkara asas yang menjadi perjuangan, rakyat akan nampak bahawa parti itu tidak pernah mengenepikan prinsip meskipun terpaksa bekerjasama dengan musuh tradisi.
“Saya yakin kalau UMNO konsisten mempertahankan empat perkara ini iaitu kedudukan Islam sebagai agama persekutuan, kedudukan raja-raja Melayu, hak istimewa orang Melayu, kedudukan bahasa Melayu dan kita dilihat mempertahankan dalam apa keadaan sekalipun, insya-Allah rakyat akan nampak.
“Lapan bulan ini memang ramai akan keliru tetapi selepas lima tahun mereka tengok UMNO bersama dengan Dap tiada pun sebarang ancaman yang mereka lakukan. Tiada pun hak istimewa orang Melayu terjejas dan kedudukan Islam tergugat,” katanya menerusi hantaran di laman Twitternya.
Menurutnya lagi, di peringkat awal kerjasama UMNO/BN bersama Pakatan Harapan (PH) khususnya Dap ini mencetuskan sentimen perkauman dan agama yang dijadikan sebagai modal oleh pihak lawan.
“Saya yakin pada ketika itu rakyat akan kembali bersama dengan kita. Setakat ini, alhamdulilah rakyat Malaysia lebih daripada separuh bersama dengan kita. Cuma orang Melayu ini ramai yang dah terpengaruh dengan Perikatan Nasional (PN). Ini cabaran kita.
“Namun, mungkin di peringkat awal kerjasama UMNO dengan PH khususnya Dap ini isu sentimen perkauman dan agama ini laku. Tetapi, kalau kita dapat selesaikan masalah harga barang, inflasi, pastikan rakyat hidup aman damai sejahtera, bisnes-bisnes ‘booming, saya yakin rakyat akan kembali bersama dengan kita,” katanya lagi.
UMNO/BN mula mengalami kemerosotan undi sejak Pilihan Raya Umum (PRU) ke-12 apabila berlakunya tsunami politik.
Bahkan, undi UMNO/BN terus merosot pada PRU ke-14 apabila buat kali pertama parti yang memerintah selama 61 tahun itu hanya memperoleh 79 berbanding 133 kerusi Parlimen pada PRU ke-13.
Pada PRU ke-15, saingan sengit berlaku apabila wujudnya sebuah gabungan baharu yang dilihat rakyat mampu untuk menggantikan perjuangan UMNO/BN iaitu Perikatan Nasional (PN).
Keputusan PRU ke-15 menyaksikan BN memperoleh 30 kerusi, PH (82), PN (73), GPS (23), Gabungan Rakyat Sabah (enam), Warisan (tiga), Bebas (dua) serta Parti Bangsa Malaysia dan Parti Kesejahteraan Demokratik Masyarakat masing-masing satu kerusi.
BN pada mulanya membuat keputusan untuk menjadi pembangkang, kemudian berkecuali dan akhirnya menyerahkan 30 kerusi untuk pertimbangan kebijaksanaan Yang di-Pertuan Agong untuk menentukannya seperti mana turut diputuskan oleh GPS dan GRS. – UMNO Online