Ahmad Zahid Cari Sumber Kewangan Lain Teruskan Pembinaan Masjid Selepas Akaun YAB Disita – Saksi

KUALA LUMPUR, 22 Ogos – Mahkamah Tinggi hari ini diberitahu bahawa Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi mencari sumber kewangan lain bagi meneruskan pembinaan Masjid Tuminah Hamidi di Bagan Datuk, Perak selepas akaun Yayasan Akalbudi (YAB) disita oleh Suruhanjaya Pencegahan Rasuah (SPRM).

Pengurus projek pembinaan masjid berkenaan, Ramli Ngah, 56, berkata beliau mengetahui perkara itu kerana ia dibincangkan di tapak projek masjid berkenaan yang membabitkan kos pembinaan RM43.7 juta.

Beliau berkata demikian semasa disoal balas Timbalan Pendakwa Raya Datuk Mohd Dusuki Mokhtar pada perbicaraan kes Ahmad Zahid yang diperintah membela diri atas 47 pertuduhan iaitu 12 pertuduhan pecah amanah, lapan pertuduhan rasuah dan 27 pertuduhan pengubahan wang haram membabitkan puluhan juta ringgit dana YAB.

Saksi pembelaan kesembilan itu, bagaimanapun tidak mengetahui daripada mana sumber kewangan lain yang diperoleh Ahmad Zahid bagi meneruskan pembinaan masjid berkenaan.

Selain itu, Ramli mengesahkan bahawa pembinaan masjid tersebut menerusi satu surat perjanjian antara syarikat Noble Energy Construction Sdn Bhd selaku kontraktor pembinaan, Yayasan Restu dan Yayasan Al-Falah (pemaju) yang disediakan oleh peguam firma guaman Lewis & Co.

Semasa ditanya Mohd Dusuki mengapa perjanjian bagi pembinaan masjid itu tidak termasuk Yayasan Akalbudi, Ramli berkata ia di luar pengetahuannya dan beliau tidak pernah melihat serta membaca surat perjanjian itu.

Mohd Dusuki: Mengapa Yayasan Restu ada dalam perjanjian itu?

Ramli: Kerana Yayasan Restu terlibat dalam kerja-kerja hiasan dalaman (masjid).

Saksi itu tidak bersetuju dengan cadangan Mohd Dusuki bahawa Yayasan Akalbudi sepatutnya dimasukkan dalam kontrak perjanjian pembinaan masjid kerana ia membabitkan sumbangan murni dan tidak perlu disembunyikan.

Semalam, Ramli memberitahu mahkamah, syarikat kontraktor bagi pembangunan projek masjid itu tidak menerima bayaran selama tiga bulan kerana akaun YAB disita oleh SPRM sekitar pertengahan 2018, menyebabkan tempoh penyiapan masjid itu lewat daripada pelan asal tarikh siap, namun kerja pembinaan diteruskan semula awal 2019 selepas mendapat kelulusan daripada Yayasan Al-Falah (milik keluarga Ahmad Zahid).

Sementara itu, Ketua Kampung kawasan Sungai Keli, Hutan Melintang, Bagan Datuk, Kamarulzaman Sampol, 54, memberitahu mahkamah bahawa Ahmad Zahid selaku Ahli Parlimen Bagan Datuk dikenali sebagai pemimpin yang kerap membuat pelbagai sumbangan amal dan kebajikan kepada penduduk kawasan itu.

“Datuk Seri (Ahmad) Zahid pernah mengeluarkan sumbangan peribadi RM100,000 bagi membaik pulih Sekolah Agama Rakyat Sungai Keli yang telah uzur dan bangunan itu siap sepenuhnya pada 2007.

“Sumbangan lain termasuk pembiayaan kos RM80,000 bagi menukar atap bumbung masjid yang bocor dan membina pagar Masjid Sungai Keli yang siap sepenuhnya pada 2008 dan membina dewan makan di Maahad Tahfiz Al Quran Wal Qiraat Addin yang menelan kos RM20,000,” kata saksi pembelaan ke-11 itu.

Perbicaraan di hadapan Hakim Datuk Collin Lawrence Sequerah bersambung. – BERNAMA

@www.umnoonline.my

Dapatkan berita terkini UMNO terus ke Whatsapp Anda! Ikuti     Whatsapp Channel UMNO Online sekarang.