UMNO/BN Kekal Pejuang Melayu Islam… Yakinkan Rakyat Terhadap Kerajaan Perpaduan – Zambry

KUALA LUMPUR, 21 Ogos – Setiausaha Agung Barisan Nasional (BN), Datuk Seri Dr Zambry Abd Kadir menegaskan bahawa UMNO/BN sentiasa menetapkan pendirian perjuangan mereka mengenai agama Islam dan bangsa Melayu sebelum memeterai kerjasama bersama Pakatan Harapan (PH) selepas Pilihan Raya Umum (PRU) ke-15 lalu.

Jelasnya, kerjasama baharu yang telah dibentuk selama lapan bulan ini masih baharu dan ianya memerlukan masa yang lebih lama untuk meyakinkan semua ahli parti.

“Kita melihat ia merupakan satu proses pembentukan kerjasama baharu. Tentunya ia mengambil masa yang panjang untuk meyakinkan ahli. Ini merupakan salah satu sebab kenapa ianya tidak dapat digerakkan sepenuhnya.

“Kedua, ia turut berkaitan dengan bilangan keluar mengundi apabila peratusan agak rendah tidak seperti biasa. Ini antara faktor yang kita lihat mengapa berlaku begitu. Saya percaya sekiranya proses itu dapat dilakukan berterusan, ianya akan memberikan natijah yang berlainan.

“Sebagai contoh, sewaktu bekerjasama dengan Muafakat Nasional (MN), kita mengambil masa lebih daripada setahun untuk membina naratif baharu parti, mencipta hubungan sedangkan mereka tidak bersama dengan kita sebelumnya. Ianya akan menjadi proses tempoh masa yang tertentu untuk membolehkan proses penerimaan di kalangan ahli secara majoriti dapat dilakukan,” katanya menerusi sesi bual bicara di Facebook UMNO Online, pada Jumaat.

Menurutnya, Pas juga pernah bekerjasama dengan Dap sebelum ini, namun perhubungan BN-PH membentuk kerajaan digunakan sebagai modal politik pada Pilihan Raya Negeri (PRN) lalu.

“Kita perlu melihat lebih daripada satu faktor sebenarnya dan kalau dibincangkan, ini merupakan naratif yang dibina untuk meyakinkan para pengundi di luar sana. Kalau nak dikatakan bahawa pendekatan kita bersama Dap ini, kita kena ingat yang membawa naratif itu juga pernah mengadakan kerjasama bersama Dap pada tahun 1998 dalam konsep Barisan Alternatif.

“Selepas itu pada tahun 2008 juga diadakan dengan Pakatan Rakyat. Pada masa itu Pas bekerjasama dengan Dap bagi mereka mencapai satu matlamat dan tujuan untuk menang pada pilihan raya. Mungkin mereka boleh bekerjasama kerana telah membentuk musuh bersama iaitu BN.

“Mungkin pada waktu itu mereka dapat bekerjasama cumanya sebelum ini belum pernah menang secara majoriti. Kali ini apa yang berlaku ialah mereka sebelum ini menganggap kawan sudah menjadi musuh dan yang berada dalam coalition ini pula dianggap sebagai musuh mereka,” katanya lagi.

Dalam pada itu, beliau turut menegaskan bahawa naratif yang dimainkan oleh PN pada PRN ini melalui kempen-kempen membuatkan ramai rakyat terpengaruh sehingga akan terlupa akan sejarah lampau.

“Ini dimainkan sebagai satu naratif sehingga ramai yang terpengaruh. Itu yang pertama. Keduanya, mungkin disebabkan oleh beberapa pengalaman yang berlaku sebelum ini dalam tempoh terdekat menyebabkan segala gambaran itu terbina di dalam fikiran para pengundi.

“Walhal dalam konteks UMNO/BN apabila kita membuat keputusan untuk bekerjasama dengan Pakatan Harapan (PH), telah dinyatakan dengan jelas soal teras pejuangan kita terutamanya mengenai hak istimewa orang Melayu, Islam, raja-raja dan bahasa Melayu.

“Ini kita letakkan dengan sejelas-jelasnya sebelum kita mengadakan rundingan lagi. Kalau asas ini boleh diterima barulah kita mengadakan rundingan itu dan alhamdulilah ianya diterima. Walaupun kita bercakap soal ini namun disebabkan kempen yang berterusan dan bertalu-talu menyebabkan pengundi percaya seolah-olah perkara tersebut benar,” katanya lagi. – UMNO Online


Dapatkan segala pautan dan media sosial UMNO di linktr.ee/umno #UMNOBangkit