Perak Pertingkat Pertumbuhan Ekonomi Bagi Rapatkan Jurang Dengan Negeri Terkaya
MANJUNG, 21 Ogos – Kerajaan Negeri Perak berusaha untuk memastikan ekonomi negeri terus diperkukuhkan agar jurang di antara Perak yang merupakan negeri berpendapatan rendah dengan negeri yang berpendapatan tinggi di negara ini dapat dikurangkan.
Menteri Besar Datuk Seri Saarani Mohamad berkata kerajaan negeri akan mengembalikan semula momentum pertumbuhan di kesemua sektor ekonomi dan pada masa yang sama mewujudkan sumber pertumbuhan baharu.
“Pertumbuhan beberapa industri yang strategik dan berimpak tinggi seperti di Lembah Teknologi Tinggi Automatif (AHTV) di Proton City, Tanjung Malim; Silver Valley Technology Park (SVTP), Chemor dan terkini Taman Industri Halal Perak@Lekir (Perak HIP) akan menggalakkan lagi pelaburan yang berkualiti.
“Perak muncul di antara empat negeri teratas yang menarik pelaburan diluluskan di negara ini, berjumlah RM7.1 bilion. Ia adalah satu pencapaian yang amat bermakna buat Perak yang mana meskipun di tengah-tengah ketidaktentuan global, kita telah berjaya menarik minat pelabur untuk terus melabur di negeri ini,” katanya pada sidang media di sini hari ini selepas merasmikan Majlis Pecah Tanah Taman Industri Halal Perak@Lekir (Perak HIP) di sini, hari ini.
Saarani berkata ramai bakat muda dari negeri itu sebelum ini mendapat tawaran pekerjaan yang lebih baik di luar Perak.
“Kita bukan tiada tanah industri cuma pada ketika itu pelabur lebih berminat ke Pulau Pinang dan Selangor disebabkan adanya kemudahan pelabuhan yang lengkap, jadi kita tersepit di tengah-tengah.
“Kini kedua-dua negeri tersebut sudah semakin pesat dan sesak menyebabkan pelabur mengalihkan perhatian mereka ke Perak untuk melabur dalam industri baharu,” katanya.
Saarani berkata demikian ketika mengulas laporan media berhubung sembilan negeri yang merekodkan pertumbuhan dan tahap pendapatan lebih rendah daripada purata penengah isi rumah nasional.
Perak bersama Terengganu, Negeri Sembilan, Sarawak, Pahang, Perlis, Sabah, Kedah dan Kelantan direkodkan mempunyai peningkatan pendapatan yang perlahan dan kekal rendah.
Data pendapatan mengikut tahun juga menunjukkan jurang semakin melebar dengan jurang pendapatan negeri terkaya (Selangor) berbanding negeri termiskin (Kelantan) semakin besar, iaitu daripada RM2,593 pada 2009 kepada RM6,369 pada 2022.
Sementara itu Saarani berkata kerajaan negeri sedar akan kedudukan itu dan menyatakan ini adalah masa yang paling sesuai melalui penyediaan peluang pekerjaan yang berpendapatan lumayan.
“Pelan Perak Sejahtera 2030 turut mencakupi semua aspek dan kita akan memperkasakan semua kemudahan sedia ada khususnya pelabuhan utama, dan kita yakin dapat bersaing dengan negeri-negeri lain,” katanya. – BERNAMA