Kukuhkan Kembali UMNO, Trek Rekod Angkat Ekonomi Dan Sosial Melayu-Islam – Abdul Rahman
KUALA LUMPUR, 21 Ogos – Ahli Majlis Kerja Tertinggi, Datuk Seri Abd Rahman Dahlan percaya penolakan yang dilakukan rakyat pada UMNO menerusi pilihan raya lalu hanya bersifat sementara.
Jelas beliau, UMNO akan kembali menjadi pilihan rakyat khususnya orang Melayu pada masa akan datang berdasarkan trek rekod parti ini melalui pembinaan institusi-institusi suatu ketika dahulu yang masih kekal relevan sehingga kini dalam mengangkat ekonomi dan sosial orang Melayu-Islam di negara ini.
“Saya cukup yakin ini adalah fenomena sementara, orang Melayu tidak akan pernah melihat UMNO ini sebagai anti Melayu. Mereka faham bahawa UMNO ini diwujudkan di Istana Johor untuk kepentingan orang Melayu dan agama Islam.
“Ribuan masjid, Bank Islam, takaful, universiti Islam, tabung Haji, memartabatkan Jakim, mahkamah syariah , itu kerja Pas? Bukan, sebaliknya kerja UMNO.
“Kita direhatkan sementara (menjadi kerajaan) daripada minda orang Melayu kerana ada banyak masalah dalaman dan luaran. Tetapi UMNO tidak akan mati selagi ada anda semua Pemuda UMNO ini insya-Allah ianya tidak akan berlaku. Cuma sekarang ini kita kena bertindak rasional dan tidak emosi, lihat apa yang terbaik untuk parti,” ujar beliau.
Beliau berkata demikian pada Post-mortem Pilihan Raya Enam Negeri Pemuda UMNO Malaysia, yang diadakan di International Youth Centre, yang berlangsung baru-baru ini.
Turut hadir adalah Setiausaha Agung Barisan Nasional (BN), Datuk Seri Dr Zambry Abdul Kadir; Ketua Pergerakan Pemuda UMNO Malaysia, Dr Muhamad Akmal Saleh; Naib Ketua Pergerakan Pemuda UMNO, Mohd Hairi Mad Shah dan ketua-ketua Pemuda seluruh negara.
Abd Rahman yang juga Timbalan Ketua UMNO Sabah dalam pada itu berkata keputusan menjalin kerjasama menubuhkan Kerajaan Perpaduan usai Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15) perlu dilihat secara konteks yang meluas.
Menurut beliau, ini kerana ianya perlu dilihat sebagai keputusan yang meletakkan kepentingan negara melebihi parti.
“Kita ini sayangkan negara sehinggakan kepentingan parti menjadi nombor dua, contohnya pada PRU15 empat hari tiada kerajaan pasaran saham merudum berbilion, Ringgit jatuh.
“Jadi mengambil keputusan mewujudkan Kerajaan Perpaduan, apakah ini keputusan terbaik (untuk parti)? Mungkin tidak tetapi untuk negara adalah keputusan terbaik.
“Manakala untuk orang Melayu mungkin tidak kerana kita tidak mempunyai cukup masa, dalam sistem demokrasi parti yang besar mesti diberi untuk jawatan Perdana Menteri maka pada waktu itu Pakatan Harapan,” ujar beliau.
Jelas Ketua UMNO Bahagian Tuaran itu, keputusan kerjasama dengan PH lebih memberi kesan kepada perspektif keterbukaan parti berbanding bersama dengan parti yang menduduki spektrum politik berlandaskan kaum.
“Apakah menubuhkan kerajaan yang dianggap sebagai ultra Malay, haluan kanan, kerajaan konservatif ultra Malay terbaik untuk negara?
“Mungkin baik untu kita orang Melayu tetapi adakah baik untuk negara kita? Maka pada waktu itu kita buat keputusan kerajaan yang majmuk melambangkan komposisi kaum dalam negara ini merupakan pendekatan terbaik.
“Apakah ini yang terbaik untuk UMNO? Sekali lagi mungkin bukan… tetapi bagi kita ini sebagai pemimpin diajar daripada awal untuk menjaga negara ini, berlawan dengan British, Konfentrasi Indonesia, Komunis dengan sentiasa meletakkan kepentingan negara melebihi kepentingan lain.
“Jadi kita ambil tindakan haluan sederhana dengan meletakkan kepentingan Islam dan Melayu menjadi teras perjuangan kita,” katanya. – UMNO Online