RM254.3 Juta Diperuntukkan Bagi Program Basmi Miskin Tegar Di Johor

JOHOR BAHRU, 16 Ogos – Sebanyak RM254.3 juta diperuntukkan oleh kerajaan negeri dan Persekutuan bagi melaksanakan Program-Program Pembasmian Miskin Tegar sepanjang tahun ini di Johor.

Menteri Besar Datuk Onn Hafiz Ghazi berkata atas inisiatif itu, pihaknya dimaklumkan jumlah miskin tegar di negeri ini telah turun daripada 4,378 Ketua Isi Rumah (KIR) pada Mac lepas kepada 3,270 KIR Ogos tahun ini.

“Hal ini menunjukkan keseriusan serta tekad kerajaan dalam menyelesaikan isu kemiskinan di Johor,” katanya dalam hantaran menerusi laman Facebook beliau hari ini.

Menurut Onn Hafiz, beberapa langkah turut dibincangkan bagi mencari satu mekanisme baharu yang lebih kondusif dan terancang.

Beliau berkata perbincangan itu melibatkan seluruh jabatan, agensi dan syarikat berkaitan kerajaan (GLC) di negeri ini khususnya program keluarga angkat, menyediakan peluang pekerjaan serta memberikan bantuan bersasar.

“Saya berharap agar seluruh jabatan dan agensi yang berkenaan terus sama-sama turun padang dalam memastikan segala perancangan yang dibuat mengikut pelan yang telah disusun rapi, agar seluruh rakyat di negeri ini mendapat manfaatnya.

“Semoga golongan rentan di Johor terus terbela, agar hasrat kerajaan dalam menoktahkan sifar miskin tegar menjelang 2027 akan tercapai,” katanya.

Menerusi hantaran berasingan, Onn Hafiz berkata kerja-kerja baik pulih dan menurap jalan raya yang rosak teruk sebelum ini di Taman Impian Emas Skudai di sini, telah mula dilaksanakan dan dijangka siap secara berfasa sehingga Oktober tahun ini.

“Saya sedar dan insaf masih banyak lagi jalan raya yang berlubang dan bertampal-tampal. Ia memerlukan penyelenggaraan yang segera kerana sangat membahayakan keselamatan pengguna.

“Kerajaan negeri akan terus komited untuk menyelesaikan isu jalan raya supaya ia selamat dan selesa untuk kegunaan Bangsa Johor,” katanya. – BERNAMA

@www.umnoonline.my

Dapatkan berita terkini UMNO terus ke Whatsapp Anda! Ikuti     Whatsapp Channel UMNO Online sekarang.