BN-PH Ikut Syarat Laksana Kempen PRN, Tapi Tengok Parti Lawan? – Azalina
KUALA LUMPUR, 16 Ogos – Ketua Penerangan UMNO, Datuk Seri Azalina Othman Said berpandangan perbelanjaan parti lawan khususnya melibatkan media sosial pada Pilihan Raya Negeri (PRN) lalu tidak berlandaskan kepada undang-undang pilihan raya.
Katanya ini merujuk kepada Seksyen 19 Akta Kesalahan Pilihan Raya yang memperuntukkan had maksimum perbelanjaan pilihan raya RM200,000 bagi setiap kerusi Parlimen dan RM100,000 bagi kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN).
Kenyataan beliau itu dibuat mengambil kira strategi sesetengah parti yang mengunakan platform media sosial melebihi had maksimum perbelanjaan dibenarkan oleh akta tersebut.
“Di Youtube ada iklan yang boleh langkau dan tidak boleh. Yang tidak boleh langkau kalau 100,000 orang hendak target sekali 15 saat iklan itu kos adalah RM46,000. Cuma kira yang tak boleh langkau itu dalam masa satu hari berapa kali dimainkan? Katakan 10 kali, makna satu hari RM460,000. Bagaimana pula untuk 14 hari?
“Untuk iklan yang boleh langkau, target sejuta tontonan RM100,000 untuk lima saat, kalau main satu hari 10 kali? Maksudnya saya hendak terang di sini Sekysen 19 yang kononnya RM200,000 untuk Ahli Parlimen, RM1000,000 untuk ADUN (Ahli Dewan Undangan Negeri) ini tidak terpakai lagi.
“Saya berani berkata bahawa Barisan Nasional (BN) dan Pakatan Harapan (PH) ini mewujudkan kempen yang bersih. Kita ikut syarat tapi tengok parti lawan? Bendera punyalah besar, kenderaan yang tak pernah tengok. Kalau kita hendak kira satu persatu ini bukan tradisi pilihan raya yang sebenar,” katanya.
Beliau berkata demikian pada diskusi dalam ‘Analisa PRN 2023 Di Mana Silapnya?’ yang disiarkan malam tadi secara langsung menerusi laman sosial UMNO Online dan Media Perpaduan, malam tadi.
Turut menjadi panel adalah Pengarah Komunikasi UMNO Malaysia, Datuk Lokman Noor Adam dan Pensyarah Kanan Antarabangsa UUM, Prof Dr Azizuddin Mohd Sani
Azalina yang juga Menteri Undang-undang dan Reformasi Institusi dalam pada itu juga merujuk kepada pengiklanan politik yang dilaksanakan di negara luar, namun diguna berlandaskan undang-undang.
“Amerika Syarikat yang disebut sebagai pengiklanan politik tetapi ada regulated, kita ni di Malaysia sebaliknya.
“Jadi persoalannya adakah undang-undang Suruhanjaya Pilihan Raya Malaysia (SPR) pada kali ini perlu ditukar sebelum Pilihan Raya Umum ke 16 supaya dapat dinilai secara sama dengan senario kecanggihan media digital,” ujar beliau.
Mengulas lanjut, Azalina berkata BN dan PN juga menggunakan media sosial namun turut sama mengaplikasi kaedah konvensional dalam melaksanakan kempen pilihan raya.
“BN tidak pernah ada tradisi yang sedemikian kerana kita kena tahu membezakan kerajaan dan parti.
“Sebenarnya kalau kita tawarkan seseorang calon itu kita hendak dia berkhidmat untuk lima tahun. Bukan hendak menjenamakan (melalui media sosial) tetapi jual perkhidmatan.
“Sebab mungkin BN dan PH adalah suatu parti politik yang begitu tradisional dengan berkempen dari rumah ke rumah, ceramah,” ujar beliau. – UMNO Online