Rakyat Bayar Cukai Bukan Untuk Menteri, Rasuah Bagi Tujuan Parti Politik – Isham

KUALA LUMPUR, 15 Ogos – Ahli Majlis Kerja Tertinggi UMNO, Isham Jalil menyifatkan pembebasan Tan Sri Muhyiddin Yassin daripada pertuduhan menggunakan kedudukannya untuk rasuah suatu yang janggal.

Katanya ini kerana, sebagai Perdana Menteri adalah sesuatu yang aneh untuk mendapat wang daripada kontraktor atau syarikat berjumlah ratusan juta.

“Ini amatlah pelik. Kalau begini, adakah apabila sesiapa jadi Perdana Menteri atau menteri selepas ini maka mereka boleh meminta rasuah dari kontraktor atau syarikat berjumlah beratus juta dari projek kerajaan di mana sumber dana adalah wang rakyat dan hasil cukai, asalkan mereka masukkan ke akaun parti politik mereka?

“Saya amat tidak bersetuju. Sebab saya dan rakyat Malaysia bayar cukai bukan untuk menteri-menteri dapat rasuah bagi kegunaan parti politik mereka. Wang rakyat dan cukai tidak sepatutnya diguna untuk tujuan ini.

“Dan jika rasuah itu diterima untuk dimasukkan ke dalam akaun parti politik sendiri, ia adalah untuk kepentingan peribadi bukan untuk kepentingan awam. Sebab rakyat mempunyai pandangan politik yang berbeza dan membayar cukai bukan untuk menaja parti politik,” katanya menerusi satu hantaran di Facebook.

Beliau malah berharap Peguam Negara untuk memfailkan rayuan pendakwaan ke atas kes ini di Mahkamah Rayuan.

“Sebab jika kes ini menjadi keputusan dan duluan undang-undang, maka lebih teruklah rasuah berleluasa di negara ini,” tegas beliau.

Terdahulu Mahkamah Tinggi, hari ini melepas dan membebaskan Presiden PPBM itu atas empat tuduhan menggunakan kedudukannya untuk rasuah berjumlah RM232.5 juta bagi parti itu. – UMNO Online

@www.umnoonline.my

Dapatkan berita terkini UMNO terus ke Whatsapp Anda! Ikuti     Whatsapp Channel UMNO Online sekarang.