Pasca-PRN: Tukar Pimpinan Parti Bukan Strategi Terbaik Untuk Kembalikan Semula Kepercayaan Rakyat
TENGGARA, 15 Ogos – Menukar pimpinan parti bukanlah strategi yang terbaik untuk mengembalikan semula kepercayaan bahkan ianya ibarat jerat mengena pelanduk, ikan memakan umpan, kata Timbalan Ketua UMNO Bahagian Tenggara, Manndzri Nasib.
Ini kerana katanya, UMNO/Barisan Nasional (BN) berusaha sedaya upaya untuk melangsaikan segala manifesto dirangka sejak Pilihan Raya Umum (PRU) ke-8.
“Jika dilihat sejak PRU ke-8 hingga kini, sebenarnya UMNO/BN akan berusaha melunaskan manifesto-manifesto sedia ada setiap kali menang PRU. Rakyat cuma perlu buka pancaindera kejujuran, pasti akan mampu mentahkikkannya.
“Pertambahan dan pengurangan kerusi-kerusi yang dikuasai silih berganti di sesetangah kawasan baik Parlimen dan Dewan Undangan Negeri (DUN). Ia tambah menarik sebagaimana saya sebut perihal media baharu, isu-isu dan sentimen-sentimen negatif tentang parti pemerintah akhirnya mudah disebar. Betul atau tidak hal ke sepuluh. Rakyat ada pertimbangannya dan beginilah negara kita terjadi.
“Ringkasnya, kepada setiap peristiwa selepas PRU, ia beri kesan terutamanya kepada ketua parti UMNO/BN. Parti dan ahli parti lain agak berbeza menerima kekalahan. Mereka sentiasa ada strategi lain untuk membaik dan bersaing pada PRU-PRU masa mendatang. Kita lihat kelahiran ikhtiar-ikhtiar politik mereka untuk survive dengan lahirnya Barisan Alternatif, Pakatan Rakyat, Tahaluf Siyasi, Perikatan Nasional dan dengan seribu satu macam strategi dan taktikal mencakupi media asing, gerombolan ahli-ahli perundangan, validasi antarabangsa, universal ‘go-go’ dan banyak lagi strategi digembling, difikir dan digerak secara kolektif,” katanya menerusi hantaran di laman Facebooknya.
Jelasnya, melihat situasi kepada parti selain UMNO/BN, setiap kali mengalami kekalahan ahli-ahlinya sentiasa tidak pernah berhenti memberikan sokongan dan dokongan tanpa mendesak ketua parti melepaskan jawatan.
“Dalam beberapa PRU, Pilihan Raya Kecil (PRK) dan Pilihan Raya Negeri (PRN)… bukanlah sentiasa menang parti-parti seteru UMNO/BN. Tetapi setiap kali mereka tewas, ahlinya bulat memberi sokongan dan dokongan kepada parti serta ketua mereka. Apa sahaja yang berlaku kepada parti, ketua mereka tetap dipertahan… dan dengan ketua itu jugalah akhirnya mereka meraih kemenangan-kemenangan dan pemulihan.
“Kita lihat PKR, apa sahaja yang ditala, mereka hadap dan kekal setia dengan parti dan setia dengan institusi keketuaan mereka. Mereka fikir perkara lain untuk bangkit. Begitu juga Dap. Mereka juga pernah lalui waktu sukar tetapi ahli-ahli mereka tetap tegar dan meneruskan ikhtiar-ikhtiar tanpa sedikitpun fikir mahu tukar kepala.
“Pas juga demikian, saya tidak pernah dengar desakan ahli-ahlinya untuk tukar ketuanya walhal apa fatwa yang mengeliru tidak dibuat semata-mata tujuan politik? Berapa banyak kelemahan tertonjol di negeri-negeri yang mereka pimpin? Tapi ahli tetap setia dan mendokong aspirasi pemimpin,” katanya lagi.
Beliau yang juga Ahli Parlimen Tenggara itu turut beranggapan bahawa peristiwa PRN di enam negeri berlangsung baru-baru ini tidak dinilai secara adil dan nisbahnya.
“Ironinya, bagi parti saya UMNO/BN ia seolah-olah ‘the-ultimate’ strategi atau ‘one-single-factor’ yang ada untuk kembalikan keyakinan masyarakat kepada parti. Samada tidak jumpa strategi lain atau malas fikir taktikal lain atau itu sahaja momokan dibenak.
“Apa yang pasti bagi parti-parti lain, setiap kekalahan yang mereka lalui, diterima dan diladeni dengan strategi lain selain tukar ketua. Kita lihat dahulu Datuk Seri Najib lepas kalah PRU ke-14 juga didesak walhal kita tahu situasi beliau. GST yang jadi asbab tumbang pun rakyat telah sedar akan kebaikannya.
“PRN ke-15 enam negeri baru-baru ini dinilai secara tidak adil dan dinisbah hanya kepada ketua kami, Presiden UMNO, Pengerusi BN. Kenapa? BN menang PRN Melaka, Datuk Seri Zahid jugalah Presiden UMNO. PPBM tak suruh Presiden dia letak jawatan. BN menang besar di Johor pun, beliau jugalah Presiden UMNO ketika itu.
“PPBM tak suruh Presiden dia letak jawatan. Kalah pada PRU ke-15, namun menjadi sebahagian Kerajaan dengan peranan yang signifikan. Walau hanya ada 30 kerusi, atas izin Tuhan dengan titah Seri Paduka Baginda YDPA dan Perikatan Nasional (PN) menjadi pembangkang juga tidak menjadikan ahli-ahli parti minta ketua-ketua PPBM dan Pas letak jawatan,” katanya lagi.
Menurut Manndzri lagi, para pimpinan dan ahli parti perlu belajar dari pengalaman dan hemah rakan-rakan Kerajaan Perpaduan untuk terus taat kepada ketua serta istiqamah dalam proses bangkit semula.
“Sebaliknya, yang kita dengar sejak dari menang PRN Melaka dan Johor, selepas PRU ke-15 serta PRN enam negeri… desakan untuk ketua parti saya, Presiden UMNO dan Pengerusi BN letak jawatan. Saya rasa, kita perlu belajar dari pengalaman, hemah rakan-rakan kita terutama dari PKR dan Dap. Terus taat kepimpinan dan istiqamah gerak agenda-agenda untuk bangkit dan lawan semula dalam PRU ke-16 nanti.
“Semacam kita, hilang yakin kepada pendekatan bahawa membantu rakyat, membawa pembangunan kepada masyarakat, menyelesai masalah umat akan mendekatkan kita kepada Tuhan dan dengannya kelak rakyat kembali percaya kepada kita. Kita bukan menjadi Kerajaan di Persekutuan, di Johor, di Melaka, di Negeri Sembilan, di Pahang, di Perak juga di Selangor, di Pulau Pinang, di Sabah dan di Sarawak untuk menzalimi rakyat, kita mahu berbakti serta tabur jasa kepada rakyat. Insya’Allah rakyat akan sedar dan menilai dengan kadaran masa yang Tuhan izinkan.
“Secara peribadi, menukar pimpinan parti saya bukanlah strategi. Ia sebenarnya ibarat jerat mengena pelanaduk, ibarat ikan memakan umpan. Kita pulak menari ikut rentak musuh? Bertindak ikut keinginan musuh? Musuh mahu kita tukar ketua sebab mereka tahu ketua itu kental, kenyal dan tegar mempertahan parti kita. Takkanlah mudah-mudah kita ikut cakap musuh. Belajarlah dari PKR, Dap dan Pas,” katanya lagi.
Dalam pada itu, beliau turut mengajak para pimpinan dan ahli parti untuk memperkukuhkan institusi Presiden dan memikirkan strategi bersesuaian bagi menarik semula sokongan rakyat.
“Mari sama-sama kita perkukuhkan istitusi Presiden UMNO dan Pengerusi BN. Selepas tewas bukan jadi lemah, tapi jadi lebih tegap setianya, dan dengan itu parti akan beriringan kuat. Bukan mengiya momokan musuh dan akhirnya parti menjadi lemah serta berpecah.
“Marilah, kita satu gerak sederap. Jayakan setiap usaha Persekutuan. Sama-sama kita dengan aspirasi negeri-negeri yang parti kita ketuai. Kita masih ada masa. Fikirkan strategi dan taktikal… buka pancaindera politik dan islah kita luas-luas… merayu pada Tuhan akan hikmah. Ikhlaskan hati. Insya’Allah,” katanya lagi. – UMNO Online