Noraini Seru Pejuang Parti Bermuhasabah, Ucap Terima Kasih Kepada Seluruh Jentera

KUALA LUMPUR, 15 Ogos – Ketua Wanita UMNO Malaysia, Datuk Seri Dr Noraini Ahmad menyeru para pejuang parti keramat Melayu ini untuk bermuhasabah dan memperbaiki segala kekurangan pasca Pilihan Raya Negeri (PRN) lalu.

Menerusi hantaran di laman Facebooknya, Noraini turut mengucapkan jutaan terima kasih kepada seluruh jentera Wanita UMNO Malaysia yang telah menjayakan kempen di keenam-enam negeri terlibat.

“Setelah hampir 14 hari kita ‘berkampung’ membantu calon-calon di keenam-enam negeri, dengan segala usaha dan kerja keras yang diberikan oleh seluruh jentera Wanita UMNO seluruh Malaysia, saya serta seluruh kepimpinan Wanita UMNO Malaysia ingin mengucapkan jutaan terima kasih buat semua.

“Walaupun keputusan tidak seperti yang kita harapkan, buat para pengundi yang telah mengundi Barisan Nasional (BN), kami amat menghargai undian dan kepercayaan anda kepada kami. Terima kasih untuk sokongan yang telah diberi. Alhamdulillah,” katanya.

Selain itu, beliau turut menyeru para jentera Wanita UMNO Malaysia untuk meneruskan perjuangan yang tidak bernoktah dan berpesan agar jangan berputus asa.

“Buat seluruh jentera Wanita UMNO Malaysia, saya yakin dan percaya, sahabat-sahabat semua telah membantu sehabis daya. Perjuangan kita ini tiada noktahnya. Jangan sesekali berputus asa. Andalah wanita luar biasa.

“Buat semua sahabat seperjuangan, mari kita bersama muhasabah diri dan sama-sama kita baiki mana yang kurang untuk parti yang kita sayangi ini, demi Agama, Bangsa dan Negara,” katanya lagi.

Sementara itu, beliau selaku wakil kepimpinan Wanita UMNO Malaysia turut mengucapkan sekalung tahniah kepada Puan Sri Bibi Sharliza Mohd Khaled di atas kemenangan beliau di kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Juasseh.

“Bagi pihak seluruh kepimpinan Wanita UMNO Malaysia, saya mengucapkan tahniah dan syabas buat Puan Sri Bibi Sharliza Hj Mohd Khaled yang telah memenangi kerusi DUN Juasseh pada PRN di Negeri Sembilan tempoh hari.

“YB Puan Sri Bibi Sharliza merupakan calon tunggal wanita BN yang memenangi kerusi DUN yang dipertandingkan daripada 12 orang calon yang bertanding di keenam-enam negeri,” katanya lagi.

Keputusan PRN bagi keenam-enam negeri memperlihatkan gabungan BN dan Pakatan Harapan (PH) berjaya mengekalkan tiga negeri sedia ada iaitu Pulau Pinang, Selangor dan juga Negeri Sembilan manakala Perikatan Nasional (PN) turut kekal bertahan di tiga negeri lagi iaitu Kedah, Terengganu dan juga Kelantan. – UMNO Online

@www.umnoonline.my

Dapatkan berita terkini UMNO terus ke Whatsapp Anda! Ikuti     Whatsapp Channel UMNO Online sekarang.