Manfaatkan Sepenuhnya Baki Kempen, Pastikan Tekad Pengundi Untuk Kerajaan Perpaduan – Jeffrey

HULU LANGAT, 10 Ogos – Masa berkempen yang masih berbaki dua hari perlu dimanfaatkan sepenuhnya oleh anggota jentera bagi memastikan tekad pengundi tetap memilih calon-calon Barisan Nasional (BN) – Pakatan Harapan (PH).

Demikian tegas Ketua UMNO Bahagian Putatan, Jeffrey Nor Mohamed yang turut turun padang berkampung menjadi sebahagian anggota jentera BN bagi memastikan kemenangan dapat diraih.

Beliau yang juga Pengarah Jabatan Pilihan Raya UMNO Sabah diamanahkan membantu calon BN di Dewan Undangan Negeri (DUN) Dusun Tua, Datuk Johan Abdul Aziz Dalam Pilihan Raya Negeri (PRN) kali ini.

Katanya, kesatuan anggota jentera pelbagai peringkat sama ada dalam BN dan PH amat baik dan bergerak sepakat bagi memastikan DUN Dusun Tua memberi sumbangan kepada pembentukan Kerajaan Perpaduan pada 12 Ogos nanti.

“Jentera BN dari Sabah telah meningkatkan kerjasama dengan jentera tempatan dan berpadu memastikan sokongan rakyat khususnya pengundi adalah kepada calon BN di sini.

“Kita mahukan kemenangan dengan Kerajaan Perpaduan bukan sahaja teguh diperingkat pusat tetapi juga dapat ditubuhkan diperingkat negeri iaitu enam negeri yang terlibat iaitu Selangor, Negeri Sembilan, Kedah, Pulau Pinang, Kelantan dan Terengganu,” katanya.

Jelasnya, dalam tempoh terakhir menjelang pengundian pada 12 Ogos ini, ia adalah ruang yang amat penting dalam melengkapkan gerak kerja sepanjang tempoh berkempen.

“Kami sebagai jentera BN/PH akan meneruskan usaha meraih sokongan pengundi secara kempen fizikal yang amat berkesan malah masyarakat akan rasa lebih apabila dapat berbual secara langsung.

“Saya yakin bahawa peluang untuk untuk mendapatkan kemenangan adalah cerah dan tidak hairan juga sekiranya kita mampu menambah bilangan kerusi di kawasan-kawasan bertanding,” katanya.

Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) menetapkan pilihan raya negeri di Selangor, Negeri Sembilan, Pulau Pinang, Kedah, Kelantan dan Terengganu serta Pilihan Raya Kecil (PRK) kerusi Parlimen Kuala Terengganu diadakan serentak pada 12 Ogos. – UMNO Online


Dapatkan segala pautan dan media sosial UMNO di www.linktr.ee/umno #UMNOBangkit