Muhyiddin Perlu Panggil Menantu Pulang Buktikan Tidak Bersalah – Ahmad Zahid
PASIR PUTEH, 9 Ogos – Pengerusi Perikatan Nasional (PN) Tan Sri Muhyiddin Yassin perlu meminta menantunya Datuk Seri Muhammad Adlan Berhan pulang dan membuktikan dirinya tidak bersalah di mahkamah.
Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi berkata Muhammad Adlan yang ketika ini dipercayai berada di luar negara perlu menjawab segala persoalan dan membuktikan dirinya tidak bersalah.
“Kalau tidak bersalah kenapa takut… buktikan di mahkamah hadapi pertuduhan dan hadapi perbicaraan.
“Saya menghadapi pertuduhan, saya mengaku tidak bersalah dan hadir ke mahkamah apabila ditentukan tarikh dan saya tidak pernah lari ke luar negara. Panggilah menantu pulang hadapi perbicaraan,” katanya.
Beliau berkata demikian dalam sidang media selepas hadir Program Pemimpin Bersama Masyarakat di Perumahan Nelayan Tok Bali, di sini hari ini.
Turut hadir Setiausaha Agung UMNO Datuk Dr Asyraf Wajdi Dusuki, Ketua UMNO Bahagian Pasir Puteh Datuk Zawawi Othman dan calon BN bagi kawasan Dewan Undangan Negeri (DUN) Semerak Marshella Ali.
Ketua Pesuruhjaya Suruhanjaya Pencegahan Rasah Malaysia (SPRM) Tan Sri Azam Baki hari ini berkata Muhammad Adlan, 48, dan Mansoor Saat, 69, dikehendaki tampil ke SPRM bagi tujuan pendakwaan kes rasuah dan penyelewengan berhubung projek berkaitan pendaftaran, pengambilan serta penyimpanan biometrik pekerja asing di sebuah kementerian.
Menurut SPRM, semakan rekod oleh suruhanjaya itu juga mendapati kedua-dua individu terbabit sudah meninggalkan Malaysia, masing-masing pada 17 Mei dan 21 Mei lepas, dan setakat ini tiada rekod kedua-duanya telah kembali ke Malaysia. – BERNAMA