“Depa Kata Wanita Rajin…” Pantai Merdeka DUN Digital Jadi Visi Kak Wan

PANTAI MERDEKA, 8 Ogos – Buat pertama kali kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Pantai Merdeka mengetengahkan calon dari kalangan wanita, ujar calon Barisan Nasional (BN) Wan Mohalina Wan Mohammad.

Wan Mohalina yang lebih dikenali sebagai Kak Wan berkata, kepercayaan parti itu dianggap satu cabaran dan berusaha menunaikan tanggungjawab dengan sebaik mungkin.

“Depa kata orang perempuan ini rajin berkerja. Memang susah dan sukar hendak menjadi calon, nak lepas menang sebagai wakil rakyat memang sangat sukar sebagai seorang wanita tetapi cabaran itu diterima dan melihat wanita terbuka menerima kerana mahu melihat wanita buat kerja untuk rakyat.

“Jentera Wanita UMNO Sungai Petani ini sememangnya yang terbaik dalam negeri Kedah. Mereka semua memang komited sebab ketua mereka selama ini pernah menjadi calon dan beri sokongan yang sangat padu,” katanya ketika ditemui UMNO Online, di sini.

Seterusnya, Kak Wan bersyukur kerana jentera Pakatan Harapan (PH) memberi komitmen dan bergerak bersama bagi mencapai kemenangannya.

“Alhamdulillah… parti Amanah dan PKR memberikan komitmen yang begitu baik dan serasi sangat cepat.

“Apabila bergabung nampaknya mereka berusaha memenangkan kak wan. Bagi mereka menangnya calon UMNO/BN maka memanglah calon Perpaduan,” katanya lagi.

Tambahnya, sekiranya diberikan mandat oleh rakyat beliau berikhtiar untuk meningkatkan lagi pembangunan infrastruktur, pendidikan serta kebajikan.

“Ikhtiar kak wan meningkatkan lagi ekonomi, pendidikan serta pembangunan di Pantai Merdeka dan sebagainya tetapi masih memikirkan apa lagi yang perlu dibuat untuk kawasan yang berbeza sedikit.

“Saya nak mendigitalkan DUN Pantai Merdeka sebagai contoh DUN digital di negeri Kedah. Kena pastikan infrastruktur internet pada tahap yang paling baik dan menggalakkan penduduk Pantai Merdeka menggunakan teknologi.

“Kita ada banyak anak muda yang keluar daripada Pantai Merdeka kerana akses internet sangat lemah. Sekiranya anak muda yang berkerja sebagai ‘freelancer’, ‘video content’ dan sebagainya dengan infrastruktur yang ada maka mereka akan pergi ke tempat lain disebabkan jalur internet yang kurang memuaskan,” katanya lagi.

Jelas beliau, apabila sudah ada jalur lebar kelajuan tinggi dan teknologi terkini, secara tidak langsung produk pelancongan yang terdapat di Pantai Merdeka akan terkenal dan  ekonomi rakyat akan terus meningkat.

Berhubung dengan PRN ini, Kak Wan berpesan kepada pengundi Pantai Merdeka agar dapat memilih wakil rakyat yang boleh membawa agenda kemaslahatan rakyat dan kerajaan yang selari dengan pusat.

“Sebab itu Kak Wan selalu pesan apabila memilih wakil rakyat ini kena tanya diri sendiri apa yang kita nak dalam tempoh lima tahun akan datang.

“Adakah kita nak pembangunan, kalau kita nak pembangunan maka wakil rakyat yang dipilih ini mesti boleh membantu dan bersama Kerajaan Persekutuan membangunkan kawasan ini. Apa yang kita pilih ini haruslah sama barulah boleh turun semua peruntukan dan pembangunan di sini,” ujarnya lagi. – UMNO Online

@www.umnoonline.my

Dapatkan berita terkini UMNO terus ke Whatsapp Anda! Ikuti     Whatsapp Channel UMNO Online sekarang.