Pusat Hemodialisis Setiap DUN, Bantuan Pendidikan Antara Tawaran Terbaik Akujanji BN Terengganu  

KUALA BERANG, 7 Ogos – Pilihan Raya Negeri (PRN) Terengganu pada 12 Ogos nanti adalah masa dan peluang terbaik untuk rakyat Terengganu menjayakan Akujanji BN negeri itu dengan pelbagai manfaat untuk masyarakat.

Mengambil salah satu janji iaitu Hemodialisis di setiap Dewan Undangan Negeri (DUN), calon Barisan Nasional (BN) Dewan Undangan Negeri (DUN) Kuala Berang, Cikgu Hj Jalaluddin Ismail berkata pesakit yang mencuci buah pinggang memerlukan kos yang tinggi dan jika dapat direalisasikan ia akan memberi kelegaan kepada mereka yang memerlukan.

Begitu juga tambah beliau dalam soal bantuan perumahan dan bantuan untuk anak-anak sekolah serta pelajar institusi pengajian tinggi awam/swasta (IPTA/IPTS), ia menyerlahkan komitmen yang tinggi BN negeri itu dalam usaha melaksanakan agenda kebajikan dalam pelbagai lapangan untuk rakyat Terengganu.

“Saya lihat dalam Akujanji kita ada tawarkan perkara-perkara yang berkaitan Hemodialisis dan soal-soal pendidikan serta pelbagai agenda kebajikan yang lain sekaligus mengurangkan beban-beban rakyat dan inilah yang kita utamakan,” katanya kepada UMNO-Online.

Menyentuh tumpuannya di DUN Kuala Berang, beliau yang lebih dikenali sebagai Cikgu Jalal seterusnya menambah Kuala Berang umpama permata yang telah bersinar namun belum digilap sepenuhnya.

“Berdasarkan pengalaman sebelum ini, masih banyak ruang-ruang yang boleh kita teroka di Hulu Terengganu ini khususnya di DUN Kuala Berang. Umpama permata yang belum digilap sepenuhnya.

“Dah bersinar tetapi belum digilap sepenuhnya. Jadi ruang-ruang ini… contohnya dalam ruang ekonomi kita nampak banyak peluang yang ada, yang sebenarnya boleh mengisi kantung poket rakyat untuk menambah poket pendapatan.

“Kita ada pertanian jagung, kacang serta sayuran lain jika diuruskan dengan baik ia mampu memberi pulangan yang baik kepada rakyat. Kita boleh wujudkan ruang ekonomi tambahan di Kuala Berang ini,” tambahnya.- UMNO Online


Dapatkan segala pautan dan media sosial UMNO di www.linktr.ee/umno #UMNOBangkit