Amir Abdillah Keluar UMNO Bukan Lagi AJK Bahagian Bukit Bintang – Tengku Azman

KUALA LUMPUR, 7 Ogos – Ketua UMNO Bahagian Bukit Bintang, Datuk Tengku Azman Tengku Zainol Abidin menolak dakwaan bahawa ahli jawatankuasa UMNO bahagian terbabit keluar parti dan menyertai Pas.

Jelasnya, dakwaan Tan Sri Annuar Musa berkenaan ahli jawatankuasa UMNO Bahagian Bukit Bintang yang disebut menyertai Pas dalam satu sidang media ialah berkaitan Datuk Amir Abdillah Shabaruddin

“Datuk Amir Abdillah Shabaruddin telah di lantik sebagai ahli jawatankuasa (lantikan) UMNO Bukit Bintang pada 11 Mei 2023. Namun beliau telah meletakkan jawatannya pada 24 Julai 2023 melalui surat kepada saya kerana tidak mampu memberi komitmen dan terlalu sibuk dengan urusan kerja beliau.

“Oleh itu ketika Tan Sri Annuar Musa membuat kenyataan tersebut, Datuk Amir bukanlah sebagai ahli jawatankuasa UMNO Bahagian Bukit Bintang,” katanya.

Ujar Tengku Azman lagi, untuk rekod Amir masih seorang ahli UMNO dan tidak pernah memohon keluar UMNO baik secara lisan mahupun bertulis.

“Diharap dengan kenyataan ini dapat memberi pencerahan berkenaan perkara tersebut,” katanya dalam satu kenyataan menerusi laman media sosialnya. – UMNO Online

@www.umnoonline.my

Dapatkan berita terkini UMNO terus ke Whatsapp Anda! Ikuti     Whatsapp Channel UMNO Online sekarang.