Alhamdulillah… Penghijrahan ’Hijau’ Ke ‘Biru’ Masuki Fasa Kedua Kempen Di DUN Jabi

PERMAISURI, 6 Ogos – Calon Barisan Nasional (BN) Dewan Undangan Negeri (DUN) Jabi, Dr Rosdi Zakaria melihat perkembangan kempen yang cukup menarik di kawasan itu apabila wujudnya perubahan daripada ‘hijau’ kepada ‘biru’.

Justeru beliau dan seluruh jentera parti akan melipatgandakan lagi usaha dan bertemu seramai mungkin pengundi agar masing-masing membuat pilihan yang tepat dengan memilih BN pada hari pengundian 12 Ogos nanti.

“Mereka ingin melihat perubahan. Ingin berhijrah ‘hijau ke biru’. Memasuki fasa kedua kempen rata-rata inginkan perubahan. Ingin tukar ‘hijau’ kepada ‘biru’. Alhamdulillah…Selama tempoh kita berkempen perkembangan cukup baik. Harap pengundi beri mandat kepada BN apatah lagi dengan Akujanji BN Terengganu akan beri satu keselesaan kepada rakyat,” katanya kepada UMNO-Online.

Ditanya mengenai tumpuannya di kawasan tersebut, beliau berhasrat untuk menyambung kembali perjuangan mantan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) BN sebelum ini, Mohd. Iskandar Jaafar yang ingin mewujudkan bandar baharu di kawasan tersebut.

Kata beliau dengan wujudnya bandar baharu Jabi sudah pasti akan memberi limpahan manfaat yang pelbagai kepada masyarakat setempat daripada pelbagai sudut terutama soal ekonomi.

“Kita ingin jayakan bandar baru Jabi yang diusahakan oleh Iskandar. Tidak silap saya proses pembelian tanah telah selesai dan kini tanah itu tidak ada apa-apa pembangunan. Sekadar tapak ekspo sahaja dan lain-lain.

“Jika diberikan mandat kita akan bangunkan tanah berkenaan dengan bandar baharu termasuklah pembinaan kompleks dewan serta unit rumah kedai dan sebagainya.

“Jika Kemaman dan Kuala Besut terkenal dengan satar, Permasuri pula dengan ikan celup tepung… kita mungkin boleh bangunkan hub sate di Jabi. Dengan kawasan yang luas ianya akan memberi keselesaan kepada pengunjung yang ingin menjamu selera sate,” ujarnya. – UMNO ONLINE

@www.umnoonline.my

Dapatkan berita terkini UMNO terus ke Whatsapp Anda! Ikuti     Whatsapp Channel UMNO Online sekarang.