PRN: BN-PH Kelantan Kemuka 34 Tawaran, Berdasarkan Empat Teras Utama

KOTA BHARU, 5 Ogos – Barisan Nasional (BN) dan Pakatan Harapan (PH) Kelantan telah mengisytiharkan 34 tawaran kepada rakyat di negeri itu berdasarkan kepada empat teras utama iaitu syiar Islam, ekonomi, pendidikan, wanita dan orang muda serta Perbadanan Kemajuan Kelantan utara.

Pengerusi Badan Perhubungan UMNO Negeri Kelantan, Datuk Ahmad Jazlan Yaakub berkata, beliau merayu kepada para pengundi untuk memberikan kepercayaan kepada BN-PH pada Pilihan Raya Negeri (PRN) kali ini agar segala tawaran dapat dilaksanakan sebaiknya.

“Setelah kita mengadakan perbincangan secara teliti dan kita telah bersetuju untuk memperincikan perkara-perkara yang diputuskan bersama sebagai tawaran kepada rakyat Kelantan pada PRN kali ini.

“Justeru, dengan tawaran-tawaran yang akan kita kemukakan ini, saya dan rakan-rakan BN-PH amat berharap serta merayu kepada para pengundi samada bermastautin atau tidak untuk memberikan kepercayaan bagi mewujudkan satu bentuk perpaduan jitu dalam masyarakat majmuk.

“Ianya perlu diterjemahkan dalam Bentuk urus tadbir cekap, amanah, berintegriti dan berkemampuan bukan sahaja membela rakyat tetapi lebih kepada menjamin masa depan rakyat,” katanya pada satu sidang media yang diadakan di Badan Perhubungan UMNO Kelantan, di sini, sebentar tadi.

Jelasnya, BN-PH membawa segala tawaran ini dengan tekad kebersamaan untuk membela rakyat dan ianya logik untuk dilaksanakan memandangkan BN-PH mentadbir pusat.

“Kita dengan penuh azam dan tekad kebersamaan untuk membela dan membantu rakyat Kelantan mengemukakan tawaran dalam suatu ruang lingkup keupayaan sekiranya diberi mandat.

“Ramai di kalangan pimpinan utama negeri tidak bertanding pada PRN kali ini. Ini adalah bertujuan untuk menyeimbangkan soal urus tadbir dan kawal selia antara pihak berkepentingan iaitu rakyat agar barisan kepimpinan yang diberi mandat akan ada pihak memantau, memerhati, semak imbang dan akan berada bersama-sama rakyat untuk memastikan semuanya dalam keadaan terkawal.

“Ini bukan satu laungan retorik. Kita berharap untuk 12 Ogos dan hari pengundian awal, sudah sampai masanya rakyat Kelantan fikir secara keseluruhan,” katanya lagi.

Menurut Ahmad Jazlan, tempoh lima tahun akan datang adalah amat penting untuk menentukan hala tuju Negeri Kelantan yang dilihat agak ketinggalan dari segi pembangunan.

“Rakyat juga perlu sedar bahawasanya soal dosa dan pahala, syurga atau neraka ini adalah satu perkara yang terangkum. Tempoh lima tahu akan datang amat penting untuk mencorak masa depan negeri.

“Kami ingin menyatakan di sini terdapat beberapa teras utama untuk dihidangkan kepada rakyat dan pengundi di Kelantan.

“Kita juga menawarkan untuk mengekalkan perkara-perkara baik dan menambah baik segala kekurangan untuk kesejahteraan rakyat di negeri ini,” katanya lagi.

Ahmad Jazlan turut menegaskan bahawa segala tawaran yang dibuat adalah berteraskan kepada ruang lingkup keupayaan Kerajaan Perpaduan dan ianya boleh dilaksanakan sekiranya mendapat mandat daripada rakyat.

“Apa yang penting, ubahlah Kelantan. Ianya terletak di hujung jari jemari pada pengundi. Segala tawaran dibuat ini adalah berdasarkan kepada ruang lingkup keupayaan kita.

“Makanan sudah terhidang di depan, maka saya bersama rakan-rakan dengan penuh rendah diri, keinsafan, kasih sayang, keluarlah dari kepompong retorik. Berpijaklah di bumi yang nyata.

“Kalau kita mahu menyaksikan Kelantan yang lebih baik untuk anak cucu kita, maka inilah yang ditawarkan oleh Kerajaan Perpaduan. Sekiranya diberi mandat, kita juga akan mengemukakan tawaran-tawaran baharu kerana daripada rakyat ia datang (mandat), kepada rakyat kita kembalikan,” katanya lagi.

Turut hadir pada sidang media ini ialah Setiausaha BN Kelantan, Datuk Md Alwi Che Ahmad; Ketua Penerangan UMNO Negeri Kelantan, Datuk Zawawi Othman; Ketua UMNO Bahagian Kota Bharu, Tan Sri Mohamad Fatmi Che Salleh dan para pimpinan PH.

Antara tawaran menarik BN-PH kepada rakyat Kelantan ialah menghapuskan tunggakan bil air Air Kelantan Sendirian Berhad (AKSB), mewujudkan kolej universiti tahfiz al-Quran dan Sains, membina 5,000 buah rumah mampu milik dan mewujudkan 20,000 peluang pekerjaan. – UMNO Online

MANIFESTO SABTU 5 OGOS

@umnoonline

Dapatkan berita terkini UMNO terus ke Whatsapp Anda! Ikuti     Whatsapp Channel UMNO Online sekarang.