Patah Tumbuh Hilang Berganti, Pemuda UMNO Terus Istiqamah Dalam Perjuangan – Dr Akmal

KUALA LUMPUR, 5 Ogos – Pergerakan Pemuda UMNO Malaysia melahirkan rasa dukacita terhadap tindakan pihak yang meninggalkan UMNO di saat parti diuji hebat.

Ketuanya, Dr. Akmal Saleh berkata,
kekuatan sebagai pemimpin dan pendukung parti adalah untuk kekal berada di dalam barisan perjuangan tatkala ia diuji hebat, bukan lari meninggalkannya saat dalam serba kepayahan, tetapi kekal bersama hanya ketika manis dan senang.

Beliau berkata demikian menerusi kenyataan media susulan kenyataan dari Afiq Amani Annuar selaku Ketua Pergerakan Pemuda UMNO Bahagian Ketereh dan Ahmad Syauqi Mazlan, Ketua Penerangan Pemuda UMNO Bahagian Ketereh yang telah mengumumkan keluar dari parti.

“Pergerakan Pemuda UMNO Bahagian Ketereh akan dipangku oleh Azhan Ishak selaku Naib Pergerakan Pemuda UMNO Ketereh.

“Kami di Pemuda UMNO akan terus istiqamah dalam meneruskan dan menggalas tanggungjawab untuk memperkukuhkan UMNO. Pemimpin itu datang dan pergi, patah tumbuh hilang berganti. Perjuangan UMNO tetap diteruskan,” katanya.

Jelas Dr Akmal, tindakan keluar parti secara beramai-ramai tidak sesekali akan merencatkan semangat rakan-rakan Pemuda yang lain yang masih setia, bersusah payah dan akan terus mengangkat perjuangan ini walau dalam keadaan yang susah mahupun senang.

“Suka untuk saya ingatkan dan berpesan kepada rakan-rakan Pemuda UMNO, perjuangan kita ini tidak berlandaskan individu atau mana-mana figura politik, tetapi pejuangan Pemuda di dalam UMNO adalah untuk meneruskan fungsi dan peranan institusi dalam merekrut anak muda, memelihara perjuangan agama, bangsa dan tanah air.

“Terima kasih di atas segala jasa dan khidmat bakti buat mereka yang telah bersama-sama UMNO selama ini. Kita jumpa di medan pertempuran,” katanya lagi. – UMNO Online

4 OGOS PS – KPUM

@www.umnoonline.my

Dapatkan berita terkini UMNO terus ke Whatsapp Anda! Ikuti     Whatsapp Channel UMNO Online sekarang.