DUN Bayu: Bantu Belia, Anak Muda Tingkatkan Diri Dengan TVET Jadi Hasrat Ishak Mat

BALING, 4 Ogos – Calon Barisan Nasional (BN) bagi kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Bayu Datuk Ishak Mat berhasrat mahu membantu belia dan anak muda di kawasan itu dengan menggalakkan mereka menceburi sistem Pendidikan dan Latihan Teknikal dan Vokasional (TVET) bagi meningkatkan kemahiran diri.

Ujarnya, menjadi tanggungjawab bagi seorang pemimpin parti politik terutamanya wakil rakyat untuk mengambil serius perkara berkenaan kerana pihak kerajaan telah menyediakan ruang dan peluang yang secukupnya.

“Saya melihat gologan muda hari ini di mana Kerajaan Madani menawarkan para belia dan muda iaitu sistem Pendidikan TVET. Yang mana kita tengok lepasan SPM (Sijil Pelajaran Malaysia) yang gagal masuk universiti dan sebagainya kerajaan melihat ini. Ruang mana yang kerajaan boleh bantu dan TVET ini dilihat boleh memberi peluang kedua kepada mereka.

“Saya akan bawa mengenai TVET ini sekiranya dipilih pada 12 Ogos nanti. Percayalah dan yakinlah pengundi di DUN Bayu ini saya akan bawa perkara ini merealisasikan silibus yang berkaitan pembelajaran TVET serapkan (anak-anak muda) di mana-mana universiti, kolej swasta dan sebagainya, insya-Allah,” katanya kepada UMNO Online di sini.

Pendidikan TVET untuk golongan muda katanya juga menjadi keutamaan Timbalan Perdana Menteri yang juga Presiden UMNO Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi.

“…membantu belia dan orang muda di peringkat kampung, golongan B40 seperti mana di Bayu ini lebih kurang 45 peratus jumlahnya.

“Jadi kalau kita tidak mengambil tindakan segera… yakinlah generasi akan datang akan tertekan dengan keadaan yang lebih teruk lagi,” katanya yang tidak menggunakan isu-isu yang menyentuh 3R (agama, kaum dan raja) dalam berkempen sebaliknya lebih kepada visinya kepada rakyat.

Justeru, beliau berharap agar diberi kepercayaan oleh pengundi di DUN Bayu pada 12 Ogos nanti dan seterusnya menjadi penghubung di antara rakyat di kawasan itu dan juga kerajaan pusat.

Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) telah menetapkan Pilihan Raya Negeri (PRN) Ke-15 bagi enam negeri iaitu Kedah, Pulau Pinang, Terengganu, Kelantan, Selangor dan Negeri Sembilan pada 12 Ogos manakala pengundian awal pada 8 Ogos ini. – UMNO ONLINE


Dapatkan segala pautan dan media sosial UMNO di www.linktr.ee/umno #UMNOBangkit