Noor Hasnita Yakin Persefahaman BN-PH Dapat Rampas Kembali DUN Anak Bukit

 

ANAK BUKIT, 3 Ogos – Tugas untuk merampas Dewan Undangan Negeri (DUN) Anak Bukit bukan satu perkara yang mudah kerana sudah lama tidak berada di tangan Barisan Nasional (BN), kata calon BN bagi kerusi DUN tersebut, Datin Noor Hasita Mat Isa.

Menurutnya, berdasarkan persefahaman dengan Pakatan Harapan (PH), beliau akan terus berusaha merampas kembali DUN Anak Bukit pada Pilihan Raya Negeri (PRN) kali ini.

“Kami berazam bersungguh-sungguh untuk nak ambil balik DUN Anak Bukit ini di dalam tangan BN. Kita berdasarkan pada persefahaman dengan PH dengan parti-parti dalam Kerajaan Perpaduan.

“Rakan-rakan, adik saudara mara yang berada di sini selaku anak tempatan akan berusaha bersungguh-sungguh untuk merampas DUN Anak Bukit ini ke tangan BN.

“Saya meminta pada jentera jangan ‘give up’, teruskan perjuangan dan tingkatkan lagi kerja-kerja sepanjang kempen terutamanya pada hari mengundi. Harapan saya pada pengundi jangan lupa tugas sebagai pengundi dan undilah BN,” katanya kepada UMNO Online, di sini.

Tambah Noor Hasnita, sekiranya diberikan peluang beliau akan berusaha meningkatkan lagi kemajuan teknologi bagi produktiviti pesawah.

“Insya-Allah… jika diberi peluang dan mendapat mandat, banyak pembangunan yang perlu buat di kawasan ini dan disebabkan Anak Bukit ini ketinggalan walaupun di sini adalah kawasan penanam padi namun hasilnya agak berkurangan.

“Kita perlukan teknologi yang lebih baharu dan canggih untuk meningkatkan lagi hasil pertanian di kawasan ini,” katanya.

Begitu juga jelasnya hasrat kerajaan BN dahulu menjadikan Anak Bukit sebagai pusat pelancongan juga terhenti akibat ketidakupayaan kerajaan negeri sekarang ini.

“Semenjak kerajaan BN mentadbir negeri ini sudah lama merancang menjadikan kawasan ini sebagai pusat pelancongan tetapi kini jauh ketinggalan disebabkan tidak diteruskan oleh kerajaan negeri.

“Bagi perancangan dan masa depan serta idea yang kreatif dan inovatif perlu dilakukan serta menaik taraf gunung Keriang ini agar lebih ramai para pelancong datang ke sini.

“Kita memerlukan sokongan dan dukungan dari kerajaan Persekutuan untuk melaksanakan apa yang dirancangkan akan berlaku maka pengundi di DUN ini perlu memberi undi pada Kerajaan Perpaduan untuk merancang pembangunan di daerah ini,” jelasnya lagi.

Seterusnya Noor Hasnita merasa yakin dengan pengundi-pengundi di sini setelah berkempen beberapa hari ini.

“Dalam masa tiga, empat hari berkempen turut turun menyantuni masyarakat. Penerimaan masyarakat agak baik dan ‘dok’ (selalu) tanya juga ‘depa’ (mereka) apa masalah dan ‘depa’ menyatakan akan terus sokong dan beri undi.

“Kita harap apa yang dikatakan itu dapat dikotakan di atas kertas undi pada 12 Ogos ini,” ujarnya.- UMNO Online


Dapatkan segala pautan dan media sosial UMNO di www.linktr.ee/umno #UMNOBangkit