Cikgu Non Fokus Tiga Keutamaan Bagi Masyarakat DUN Bkt Kayu Hitam

Bukit Kayu Hitam, 1 Ogos – Calon Barisan Nasional (BN) bagi Dewan Undangan Negeri (DUN) Bukit Kayu Hitam, Zainol Abidin Mohamad yang lebih dikenali sebagai Cikgu Non tekad membawa tiga fokus sekiranya diberikan mandat pada Pilihan Raya Negeri (PRN) ini.

Menurutnya, fokus utama yang akan dibawanya cukup bermakna bagi rakyat di kawasan itu iaitu pendidikan untuk anak-anak, pembinaan kawasan perindustrian untuk mewujudkan peluang pekerjaan serta membela kebajikan dan kepentingan petani-petani.

“Fokus utama adalah pendidikan kerana lihat anak-anak ketika ini pelajar-pelajar sekolah menengah mereka (ada) keciciran. Tingkatan satu dan dua mereka berhenti sekolah kerana kemiskinan dan membantu keluarga maka tugas sebagai bekas pendidik akan pastikan perkara tersebut tidak akan berulang.

“Saya akan teroka setiap kampung dan setiap buah rumah yang bermasalah dan pastikan mereka pergi ke sekolah. Kenapa tidak wujudkan zon industri di kawasan Bukit Kayu Hitam? Kita ada sebuah tanah seluas 11 ribu ekar di sempadan Bukit Kayu Hitam dan sebagai ‘special academy zone’ tak dimajukan selama ini? Akibat tak dimajukan negeri Kedah dan Pusat tidak tak sama pentadbirannya.

“Sekiranya diberi peluang ‘kalih bagi sama’ pembangunan di sini lebih rancak lagi dan anak-anak muda dapat peluang perkerjaan dan tidak pergi jauh dari sini. Sekurang-kurangnya tingkatan lima walaupun kemiskinan dan akan atasi perkara itu”, katanya ketika ditemui UMNO Online di sini.

Dalam masa yang sama katanya lagi, beliau akan memperjuangkan harga lantai getah sekerap supaya penoreh getah memperolehi hasil pendapatan yang setimpal.

“Penoreh getah dan petani mengeluh dek kerana harga getah (getah sekerap) yang kerap turun. Sekejap harga getah RM1.90 (sekilogram), sekejap RM2, sekejap RM3. Sepatutnya kena atasi sebab rakyat di sini ramai penoreh getah dan kena perjuangkan dengan harga lantai sekurang-kurangnya RM3.20 sekilogram dan rakyat akan rasa selesa,” jelasnya.

Justeru, beliau yang juga Timbalan ketua UMNO Bahagian Kubang Pasu berharap seluruh pengundi di Bukit Kayu Hitam dan seluruh negeri Kedah memilih calon yang tepat dan paling penting senada seirama dengan kerajaan pusat.

“Saya merayu kepada seluruh pengundi dan mengharap sangat-sangat kali ini jangan sia-siakan peluang yang diberi dan pastikan pilih calon yang tepat, senada dan seirama dengan pusat untuk dapat pembangunan di sini.

“Saya bimbang di Kedah ini akan ketinggalan dari segi ekonomi dan sebab itu kena fikir betul-betul jangan ikut nafsu dan pastikan negeri Kedah sealiran dan senada untuk bangunkan negeri Kedah. Tolong dan pastikan serta berikan kemenangan untuk negeri ini,” ujarnya. – UMNO Online



Dapatkan segala pautan dan media sosial UMNO di www.linktr.ee/umno #UMNOBangkit