Bazlan Ajak Pengundi Batu Rakit Pilih BN Demi Kelangsungan Pembangunan

Batu Rakit, 1 Ogos – Dua penggal di Dewan Undangan Negeri (DUN) Batu Rakit… penggal pertama ketika Barisan Nasional (BN) terajui negeri dan penggal kedua diterajui Pas sukarkan kelangsungan perancangan yang telah dibuat sebelum ini, keluh calon BN DUN Batu Rakit, Bazlan Abd Rahman.

Justeru beliau mengajak pengundi untuk memberikan peluang sekali lagi kepada beliau pada Pilihan Raya Negeri (PRN) 12 Ogos nanti agar segala yang dirancang sebelum ini dapat dijayakan sepenuhnya.

Dalam wawancara bersama UMNO-Online, beliau mengutarakan beberapa pembangunan infrastruktur untuk masyarakat setempat yang telah berjaya dilaksanakaa walaupun dengan penuh kekangan.

“Usaha awal membuahkan hasil antaranya mengatasi masalah banjir di kawasan pantai. Kemudiannya kita buat bazar Batu Rakit dalam usaha menarik pelbagai agensi untuk kemudahan rakyat. Biasanya kalau mana-mana agensi kemudahan rakyat mahu hadir ke Batu Rakit perlu ada tempat untuk disewa seperti rumah kedai dan sebagainya.

“Lalu saya ambil keputusan untuk bina Bazar Batu Rakit. Kemudiannya dibina lagi pembangunan yang lain walaupun sederhana dalam tempoh lima tahun ketika BN menerajui kerajaan negeri.  Tetapi malangnya hasrat saya untuk meneruskan lagi infrastruktur pembangunan lain terbantut kerana BN tidak membentuk kerajaan negeri pada 2018.

“Jadi harapan saya amat besar untuk kita sama-sama teruskan pelbagai agenda lain yang telah dirancang sebelum ini dengan kemenangan kepada BN bukan sahaja di sini malah membentuk kerajaan negeri,” katanya.

Berkongsi lebih lanjut antara tumpuan pada kali ini adalah untuk mewujudkan perumahan mampu milik di kawasan tersebut kepada masyarakat setempat memandangkan tanah yang terhad selain memudahkan masyarakat setempat.

“Kita bercadang membina lebih kurang 500 unit sebab kalau kita nak beri tanah ianya agak terbatas kerana ruangan tanah terhad. Lebih baik kita berikan rumah malah kalau kita berikan tanah kadang-kadang ada yang tidak berkemampuan untuk membina rumah dan kemudiannya dijual tanah tersebut. Jadi masalah ketiadaan rumah akan berterusan. Oleh sebab itu saya berfikir adalah lebih baik kita mencadangkan perumahan mampu milik di kawasan ini.

“Kemudiannya pembangunan infrastruktur lain seperti meningkatkan sambungan jalan di kawasan kebun dan ladang untuk kemudahan masyarakat setempat. Jalan-jalan kebun serta ladang dan sebagainya telah dibuat pada peringkat awal dan tidak sempat siap sepenuhnya dan kita akan teruskan pelaksanaan ini untuk kemudahan rakyat.

“Untuk masyarakat nelayan tumpuan juga diberikan termasuklah soal hakisan yang kita cuba selesaikan satu persatu. Kita mungkin tidak mampu selesaikan semua, namun insya-Allah kalau kita sehaluan iaitu antara kerajaan negeri dengan kerajaan pusat akan memudahkan segala yang kita rancang tersebut untuk dilaksanakan sebaiknya. Untuk lima tahun mendatang tentunya kerajaan pusat diterajui Kerajaan Perpaduan dan gunalah peluang pada 12 Ogos ini untuk sama-sama jayakan apa yang kita rancang,” tambahnya. – UMNO Online


Dapatkan segala pautan dan media sosial UMNO di www.linktr.ee/umno #UMNOBangkit