Pilih Calon Nombor Satu Untuk DUN Permaisuri – Hamdan

SETIU, 29 Julai – Calon Barisan Nasional (BN) Dewan Undangan Negeri (DUN) Permaisuri, Hamdan Hamzah berharap pengundi di kawasan berkenaan akan dapat memberikan kepercayaan kepada BN pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Terengganu 12 Ogos depan.

Menurut beliau segala kepercayaan yang diberikan itu akan dilaksanakan sebaik mungkin dalam usaha melaksanakan tugas serta tanggungjawab kepada seluruh masyarakat di kawasan tersebut.

“Alhamdulillah proses penamaan calon telah pun selesai dan saya mengucapkan terima kasih kepada seluruh penyokong dan pendukung parti yang hadir memberikan sokongan pada hari penamaan calon hari ini. Jangan lupa pilih calon nombor satu. Insya-Allah kita akan memberikan khidmat yang terbaik kepada rakyat dan pengundi di DUN Permaisuri,” katanya kepada UMNO-Online.

Suasana Pusat penamaan calon bagi Dewan Undangan Negeri (DUN) Permaisuri pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Terengganu berjalan lancar dan menyaksikan pertembungan satu lawan satu.

Dewan Serbaguna Majlis Daerah Setiu yang merupakan lokasi pusat penamaan calon menjadi tumpuan penyokong kedua-dua belah parti sejak awal pagi dengan masing-masing menaikkan ‘banner’ dan bendera parti.

Pegawai Pengurus PRN bagi DUN Permaisuri, Ahmad Rizal Mamat ketika mengumumkan calon-calon yang bertanding berkata hanya dua calon yang menghantar borang pencalonan.

Calon BN, Hamdan Hamzah menyerahkan borang pencalonan pada pukul 9.18 pagi manakala calon Pas, Mohd Yusop Majid menyerahkan borang pencalonan pada pukul 9.09 pagi.

Dalam perkembangan sama, Hamdan turut mengingatkan agar jentera parti berkempen secara berhemah dan mengikut garis panduan yang ditetapkan oleh pihak terlibat.

“Saya memohon dan menyeru kepada seluruh jentera parti untuk berkempen secara berhemah dan penuh semangat kekeluargaan dan kita jalankan kempen ini  mengikut peraturan yang telah ditetapkan oleh SPR. Apa pun saya merayu kepada seluruh pengundi DUN Permaisuri pilih calon BN….calon nombor satu pada hari pengundian nanti,” ujarnya.- UMNO Online

@www.umnoonline.my

Dapatkan berita terkini UMNO terus ke Whatsapp Anda! Ikuti     Whatsapp Channel UMNO Online sekarang.