Jabatan Peguam Negara Ada Fakta Kes Kuat Untuk Dakwa Sanusi – Ahmad Zahid

KUALA LUMPUR, 18 Julai – Pendakwaan terhadap Menteri Besar Kedah Datuk Seri Muhammad Sanusi Md Nor adalah kerana Jabatan Peguam Negara (AGC) mempunyai fakta yang kuat untuk membawa kes itu ke mahkamah dan tiada kaitan dengan Pilihan Raya Negeri (PRN) pada 12 Ogos ini.

Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi berkata ia juga bukan kerana titah Sultan Selangor Sultan Sharafuddin Idris Shah bahawa isu membabitkan kenyataan Muhammad Sanusi dalam satu ceramah di negeri itu, yang dianggap menghina institusi diraja Selangor, masih belum selesai.

“Pada hemat saya, pendakwaan ini adalah kerana AGC ada fakta kes yang kuat, jadi jika beliau rasa dirinya tak bersalah, mahkamah inilah platform terbaik untuk menjawab segala tuduhan dan mempertahankan diri,” katanya kepada pemberita selepas menyempurnakan Hari Anugerah Pendidik MARA 2023 di sini hari ini.

Menteri Kemajuan Desa dan Wilayah itu berkata demikian ketika menjawab soalan media mengenai kenyataan Ahli Parlimen Pendang Datuk Awang Hashim yang mendakwa pendakwaan ke atas Muhammad Sanusi seperti klimaks dalam ‘melumpuhkan’ kemaraan PAS dan Perikatan Nasional (PN) menjelang PRN.

Presiden UMNO itu berkata pihak terbabit juga tidak boleh mempertikai tindakan polis menahan Muhammad Sanusi di sebuah hotel di ibu negara pada kira-kira 3 pagi tadi.

“Jangan pertikai, itu hak agensi penguatkuasaan, pukul berapapun (nak tahan) kerana tindakan penahanan ini boleh dilakukan pada bila-bila masa, 24 jam,” katanya.

Terdahulu, Muhammad Sanusi dihadapkan ke dua Mahkamah Sesyen Selayang di sini atas pertuduhan menghasut berhubung isu pelantikan Menteri Besar Selangor dan penubuhan Kerajaan Perpaduan dalam satu ceramah politik minggu lepas.

Pengarah Pilihan Raya PN itu bagaimanapun mengaku tidak bersalah selepas pertuduhan terhadapnya dibacakan di hadapan Hakim Nor Rajiah Mat Zin dan Hakim Osman Affendi Mohd Shalleh.

Dalam pada itu, Ahmad Zahid ketika ditanya mengenai calon bagi menghadapi Pilihan Raya Kecil Parlimen Kuala Terengganu yang akan berlangsung serentak dengan PRN di enam negeri berkata belum ada sebarang perbincangan dengan mana-mana pihak berkaitan perkara tersebut.

Pada Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15), kerusi Parlimen Kuala Terengganu dimenangi calon PAS Datuk Ahmad Amzad yang menewaskan tiga pencabar iaitu calon Barisan Nasional Datuk Mohd Zubir Embong, calon Pejuang Mohamad Abu Bakar Muda dan calon Pakatan Harapan Raja Datuk Kamarul Bahrin Shah Raja Ahmad Shah.

Bagaimanapun, Mahkamah Pilihan Raya Terengganu pada 27 Jun lepas membatalkan kemenangan Ahmad Amzad selepas pempetisyen iaitu Zubir Embong berjaya membuktikan perbuatan rasuah telah berlaku dengan tujuan mempengaruhi pengundi pada PRU15. – BERNAMA

@www.umnoonline.my

Dapatkan berita terkini UMNO terus ke Whatsapp Anda! Ikuti     Whatsapp Channel UMNO Online sekarang.