Isu 3R: Kementerian Undang-Undang Akan Adakan Mesyuarat Pertama ‘Legal Taskforce’

KOTA RAJA, 18 Julai – Kementerian Undang-Undang Dan Reformasi Institusi akan mengadakan mesyuarat pertama ‘legal taskforce’ untuk salah guna isu 3R iaitu agama (religion), bangsa (race) dan raja-raja (royal) dalam elemen provokasi.

Menteri Undang-Undang Dan Reformasi Institusi, Datuk Seri Azalina Othman Said berkata, mesyuarat ini akan diadakan bagi melihat isu ini dari aspek undang-undang.

“Pada hari Jumaat ini kita akan adakan mesyuarat pertama ‘legal taskforce’ untuk undang-undang berkenaan salah guna 3R iaitu agama (religion), bangsa (race) dan raja-raja (royal) dalam elemen provokasi.

“Sebab kita tengok ‘sampling’ daripada negara lain, ia tidak hanya melihat daripada aspek jenayah tetapi juga aspek kaunseling dan penekanan dari segi pendidikan.

“Memang ini di bawah Kementerian Perpaduan. Saya hanya lihat isu ini dalam aspek undang-undang,” katanya ketika ditemui sejurus selepas Majlis Townhall UMNO Bahagian Kota Raja, semalam.

Mengulas lanjut, beliau yang juga Ketua Penerangan UMNO Malaysia itu memaklumkan bahawa perbincangan dengan lebih lanjut akan diadakan dalam kabinet selepas mengambil pandangan badan-badan profesional berkaitan.

“Jadi pada ‘taskforce’ itu kita akan berbincang dengan lebih lanjut dalam kabinet dari segi pandangan sebab Majlis Peguam, Badan Profesional, NGO-NGO akan dijemput untuk sesi dialog bersama agensi kerajaan bagi melihat adakah ini satu masalah atau undang-undangnya mencukupi… ataupun perlunya satu undang-undang baharu bagi menguasai jenayah itu.

“Perkara ini kita masih kaji. Itu sebabnya apabila ada yang memberi komen seolah-olah kerajaan ini zalim, dah ada undang-undang ini adalah tidak benar sebab kena tunggu Parlimen bersidang pada bulan Oktober sekiranya nak buat peraturan baharu.

“Kemudian, perlu ada sesi libat urus dan mereka ada wakil-wakil parlimen yang boleh berbahas ataupun tidak. Sebab kita buat undang-undang kat Malaysia kena ikut amalan demokrasi dan undi,” katanya lagi.

Dalam pada itu, penilaian terhadap segala usaha kerajaan terutamanya undang-undang mestilah ditunggu sehingga rangkanya dibentangkan.

“Saya pun agak pelik bin ajaib, kenapa tiba-tiba mereka menuduh seolah-olah kerajaan zalim dan mewujudkan pendekatan berkuku besi. Itu sebabnya pada pandangan saya, nak beri komen pun tunggulah dahulu.

“Kalau kami dah ada rangka pembentangan tu untuk mereka memberi penilaian. Setakat ini masih dalam perbincangan. Kita nak dengar suara-suara daripada NGO dan badan-badan profesional. Kita akan jemput agensi-agensi penguatkuasa.

“Taskforce ini merupakan sesuatu yang tidak formal. Legal discussion. Tiada apa. Dalam negara sekarang masyarakat pelbagai kaum dan agama, mereka menggunakan pendekatan sensitif tersebut tadi,” katanya lagi.

Terdahulu, beliau telah dijemput untuk menjadi panel pada Majlis Townhall UMNO Bahagian Kota Raja sempena Pilihan Raya Negeri (PRN) yang bakal berlangsung tidak lama lagi.

Turut hadir pada program itu ialah Ahli Majlis Kerja Tertinggi (MKT) UMNO, Datuk Seri Ahmad Maslan dan beberapa kepimpinan UMNO Bahagian Kota Raja. – UMNO Online


Dapatkan segala pautan dan media sosial UMNO di linktr.ee/umno #UMNOBangkit