Nasib Penggiat Ekonomi Gig Akan Terus Diperjuang Dan Dibela – Sharkar  

KUALA LUMPUR, 17 Julai – Pengerusi Sekretariat Komuniti Gig Malaysia, Datuk Seri Mohd Sharkar Shamsudin berkata penggiat sektor ekonomi berkenaan memainkan peranan penting di negara ini dan seharusnya tumpuan serta perhatian perlu daripada pihak kerajaan agar nasib mereka terbela.

Sehubungan itu beliau menegaskan apa yang telah dirancang sebelum ini termasuklah pelaksanaan Forum Nasional Kerangka Kerjaya Industri GiG yang turut disertai oleh Timbalan Pedana Menteri, Datuk Seri Dr Ahamd Zahid Hamidi serta menteri kabinet yang lain bakal memberi sinar kepada penggiat sektor berkenaan.

“Forum hari ini bukan sekadar forum biasa dan ianya adalah refleksi serta dedikasi dan komitmen untuk kita memperkasakan penggiat Gig ekonomi di negara ini berlandaskan semangat Malaysia Madani. Forum ini adalah rentetan daripada penyerahan memorandum dan resolusi oleh penggiat industri Gig Malaysia kepada Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi baru-baru ini.

“Penggiat ini memainkan peranan penting ketika negara dilanda Covid dahulu… memastikan bahawa kita semua dapat hidup dalam selesa dan terjaga. Kehadiran lebih 500 orang pada hari ini ternyata bahawa 70 peratus daripada kehadiran ini adalah mereka yang berumur 40 tahun ke bawah dan sudah tentulah mereka ini merupakan belia-belia iaitu agen perubahan atau pimpinan-pimpinan masa depan.

“Mereka memainkan peranan penting dalam mencapai matlamat pembangunan sosio ekonomi serta politik dan memiliki kekuatan untuk membawa perubahan positif kepada negara. Walaupun industri Gig menawarkan pekerjaan yang fleksibel serta potensi pendapatan yang memberikan tambahan, ianya juga begitu mencabar dalam beberapa aspek,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika berucap pada majlis penutup Forum Nasional Kerangka Kerjaya Industri GiG yang disempurnakan oleh Timbalan Pedana Menteri, Datuk Seri Dr Ahamd Zahid Hamidi. Turut serta menteri kabinet yang lain.

Sharkar seterusnya menambah dalam industri Gig, ianya tidak selalu menawarkan kestabilan pendapatan atau manfaat tradisional seperti cuti sakit berbayar, cuti tahunan, perlindungan insurans dan pencen.

Malah kata beliau, mereka tidak mempunyai satu badan khusus yang mempunyai punca kuasa untuk melindungi mereka dan sebagai contoh cas upah bagi teksi bajet bermeter adalah RM1.25 sen atau 43 sen seminit sedangkan untuk penggiat Gig jauh lebih rendah.

Tegas beliau Malaysia bukan sebuah negara kapitalis yang terlalu pro kepada peniaga berbanding pekerja hingga membina jurang pendapatan yang terlalu besar dan mengeksploitasi pekerja tanpa regulasi mencukupi atau penegakan undang-undang yang kuat untuk melindungi pekerja.

“Buat masa ini e-hailing dan p-hailing tidak disebut dalam mana-mana seksyen atau Akta Kerja 1955 sedangkan pekerjaan sambilan pula dilindungi peraturan pekerjaan iaitu tahun 2010 atau sebahagian daripada akta pekerja. Sebaliknya penggiat e-hailing hanya dipantau oleh Kementerian Pengangkutan pada tahun 2019 dengan mewajibkan syarikat e-hailing menyediakan perlindungan insuran kepada pemandu, penumpang kenderaan pihak ketiga sebagai langkah keselamatan.

“Bentuk pemantauan lain yang dibuat adalah menghadkan syarikat e-hailing mengambil lebih 20 peratus komisen bayaran tambang yang diterima pemandu dan membenarkan nilai tambang kenaikan dua kali ganda pada waktu puncak sahaja.

“Ini jelas menunjukkan bahawa tiada perlindungan spesifik yang menyentuh tentang kebajikan terutama dari segi gaji mahupun perlindungan lain kepada penggiat e-hailing dan p-hailing. Oleh itu penubuhan suruhnjaya Gig ekonomi ini adalah tepat bagi memastikan industri ini dapat berfungsi dengan baik sepertimana industri lain di negara kita. Suruhanjaya ini akan memberikan keadilan kepada penggiat industri Gig dan seterusnya menjamin kesinambungan ekosistem industri tersebut,” katanya.

Dalam pada itu beliau turut mengemukakan beberapa cadangan untuk diambil perhatian oleh kerajaan antaranya memohon agar segera dilaksanakan Suruhanjaya Ekonomi Gig Malaysia dan diletakkan di bawah kawalan sumber manusia.

“Keduanya kita mahu mewujudkan Majlis Komuniti Gig Malaysia dan ketiganya membangunkan program pembangunan modal insan menerusi inisiatif latihan ‘upskilling’ dan sebagainya melalui majlis komuniti.

“Seterusnya menyediakan peruntukan bagi industri ini dalam Bajet 2024. Saya yakin apa yang diusahakan ini adalah untuk keadilan sosial dan ianya langkah ke depan dalam usaha memperkasakan industri Gig di Malaysia yang akan membawa manfaat kepada negara dan rakyat,” tambahnya.- UMNO Online

@www.umnoonline.my

Dapatkan berita terkini UMNO terus ke Whatsapp Anda! Ikuti     Whatsapp Channel UMNO Online sekarang.