Kerajaan Jamin Tubuh SEGiM Secepat Mungkin – Ahmad Zahid

KUALA LUMPUR, 17 Julai – Kerajaan memberi jaminan untuk menubuhkan Suruhanjaya Ekonomi Gig Malaysia (SEGiM) dengan secepat mungkin, bagi menambah baik perlindungan sosial serta kebajikan penggiat industri berkenaan, kata Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi.

Dalam merealisasikan perkara itu, Ahmad Zahid telah meminta Kementerian Sumber Manusia (KSM) mengemukakan satu memorandum kepada Kabinet, bagi mendapatkan persetujuan serta kelulusan untuk penubuhan suruhanjaya tersebut.

“Penggiat industri ini atau pekerja tidak formal di Malaysia ini, tidak mendapat sebarang perlindungan melainkan jika mereka mencarum dengan Perkeso… malah, selama beberapa tahun kegiatan penggiat ekonomi gig ini berjalan di negara ini, namun ketidakpedulian telah dialami oleh mereka.

“Syarikat penyedia perkhidmatan tidak menganggap mereka sebagai pekerja dan syarikat juga tidak menganggap sebagai majikan kepada penggiat industri ini. Kelompangan sebegini yang memerlukan keprihatinan kerajaan,” katanya pada sidang media selepas menghadiri Forum Nasional Kerangka Kerjaya Industri Gig, di sini hari ini.

Turut hadir Menteri Sumber Manusia V. Sivakumar dan Menteri Belia dan Sukan Hannah Yeoh.

Ahmad Zahid turut menyasarkan tarikh penubuhan SEGiM dapat diumumkan oleh Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim, pada pembentangan Belanjawan 2024 yang dijadualkan Oktober ini.

“Saya yakin Perdana Menteri dan Kabinet akan meluluskannya selepas KSM membawa memorandum mengenai penubuhan suruhanjaya ini,” katanya yang juga Menteri Kemajuan Desa dan Wilayah itu.

Dalam ucapannya, Ahmad Zahid berkata SEGiM, merupakan satu badan yang berfungsi untuk mengatasi setiap isu berkaitan dan melahirkan inisiatif yang mampu menjaga kebajikan pengguna, peniaga, vendor, penghantar, pemandu dan penyedia platform, dalam industri gig.

“Antara peranan SEGiM adalah untuk membantu menyelaraskan dan mengatur industri gig dengan regulasi yang jelas, agar dapat memastikan pematuhan peraturan, melindungi hak penggiat dan mempromosikan persekitaran yang adil dalam industri gig.

“Membantu melindungi pekerja gig dengan menyediakan perlindungan sosial, keselamatan kerja dan hak-hak penggiat gig dan memainkan peranan penting, dalam memajukan kemahiran penggiat gig dengan menyediakan program latihan dan pendidikan khusus, yang akan membantu meningkatkan daya saing penggiat gig,” katanya.

Selain itu, Ahmad Zahid juga berhasrat untuk meningkatkan peruntukan bagi membangunkan industri gig kepada RM500 juta, menerusi Belanjawan 2024.

“Peruntukan (untuk industri gig) telah ada RM100 juta menerusi Belanjawan 2023 dan sudah tentunya peruntukan ini munasabah sekiranya ia ditambah, kerana pekerja tidak formal ini telah mencecah dalam 1.12 juta orang.

“Kerajaan MADANI ialah kerajaan yang prihatin dan kepedulian terhadap mereka akan dilakukan segera,” katanya. – BERNAMA


Dapatkan segala pautan dan media sosial UMNO di www.linktr.ee/umno #UMNOBangkit