TMM 2024: Medan Tingkatkan Kualiti Produk Pelancongan Melaka – Ahmad Zahid

KUALA LUMPUR, 15 Julai – Tahun Melawat Melaka 2024 (TMM 2024) perlu dijadikan sebagai medan untuk menambah baik kualiti dan kepelbagaian produk serta perkhidmatan pelancongan di negeri bersejarah itu.

Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi, berkata usaha berterusan melibatkan komuniti tempatan perlu dipergiatkan dan mewujudkan peluang kolaborasi antara pihak swasta dan badan bukan kerajaan (NGO).

Pada masa yang sama, katanya, usaha memelihara warisan budaya tempatan juga perlu diperkasakan agar dapat dikekalkan untuk tatapan generasi akan datang.

“Kerajaan Perpaduan akan terus memberikan sokongan dan dukungan kepada kerajaan negeri Melaka dalam memastikan usaha menarik pelancong, menggalakkan mereka tinggal lebih lama dan sebarang inisiatif yang merancakkan lagi industri ini akan terus dipacu bersama.

“Manfaatkan TMM 2024 untuk sama-sama mentransformasikan tadbir urus agensi pelancongan yang lebih efisyen, merancakkan lagi projek pelancongan, mengadaptasi penggunaan digital dan meningkatkan modal insan dalam semua sub-sektor pelancongan yang akan memajukan negeri,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika berucap pada Majlis Pelancaran TMM 2024 di Pusat Pelancongan Malaysia (MaTiC) di sini, malam tadi.

Pada majlis itu turut dilancarkan maskot TMM 2024 iaitu Tuah dan Teja.

Hadir sama, Menteri Pelancongan, Seni dan Budaya, Datuk Seri Tiong King Sing, Ketua Menteri Melaka Datuk, Seri Ab Rauf Yusoh dan Exco Pelancongan, Warisan, Seni dan Budaya Negeri Melaka, Datuk Abdul Razak Abdul Rahman.

Kempen TMM 2024 dengan slogan ‘Mana Lagi, Melaka Ler…!” akan berlangsung di MaTiC hingga Ahad ini dengan pelbagai acara dan aktiviti termasuk pesta layang-layang diadakan untuk menarik pengunjung tempatan dan seluruh dunia melancong ke Melaka. – BERNAMA

@www.umnoonline.my

Dapatkan berita terkini UMNO terus ke Whatsapp Anda! Ikuti     Whatsapp Channel UMNO Online sekarang.