Kerajaan Diminta Bincang Semula Cadangan Pindaan Yang Memudaratkan Kanak-Kanak – Shahrizat

KUALA LUMPUR, 14 Julai – Majlis Hal Ehwal Wanita & Keluarga UMNO Malaysia (HAWA) mengikuti dengan rapat perkembangan dan liputan media berkenaan cadangan pindaan Perlembagaan Persekutuan berkenaan isu kewarganegaraan yang dirancang untuk dibentangkan di Parlimen tidak lama lagi.

Sehubungan itu, pengerusinya, Tan Sri Shahrizat Abdul Jalil menyeru Kerajaan untuk tidak menangguhkan proses pindaan untuk membolehkan ibu-ibu Malaysia mendapat hak yang sama rata bagi mewariskan kerakyatan Malaysia kepada anak masing-masing secara automatik tanpa dihalang oleh status perkahwinan dengan rakyat bukan wargenegara atau di mana anak tersebut dilahirkan.

“HAWA mengucapkan terima kasih atas usaha kerajaan ini. HAWA juga mendesak Kerajaan untuk kembali ke meja perbincangan dan perundingan bersama pemegang-pemegang taruh berkenaan beberapa cadangan pindaan Perlembagaan Persekutuan yang mungkin akan mengakibatkan kehilangan perlindungan sedia ada kepada golongan rentan terutamanya kanak-kanak terdampar dan terbuang,” katanya.

Beliau yang juga Ahli Majlis Kerja Tertinggi (MKT) UMNO berkata demikian melalui kenyataan media selepas penganjuran ‘Sesi Perkongsian Minda Pemegang Taruh: Cadangan Pindaan Perlembagaan Berkenaan Kewarganegaraan’ di Pusat Dagangan Dunia (WTC), Kuala Lumpur, hari ini.

Shahrizat menjelaskan, HAWA melalui kumpulan fokus HAWAHak (Perundangan & Polisi) hari ini telah mengasakan program bagi mendapatkan maklumbalas dan perbincangan dengan lebih sepuluh Badan Bukan Kerajaan (NGO) dan kupasan dari pakar perlembagaan, Professor Emeritus Datuk Dr. Shad Saleem Faruqi dan wakil Pesuruhjaya Kanak-Kanak SUHAKAM, Dr. Farah Nini Dusuki.

Turut hadir dalam perbincangan ini adalah Tan Sri Sharifah Hapsah, Presiden NCWO dan pengurusan tertinggi NCWO, serta wakil dari Wanita UMNO Malaysia.

“Kerajaan yang responsif adalah kerajaan yang mendengar dan bertindak terhadap permasalahan rakyat.

“Hari ini kita mendengar satu suara yang cukup lantang dan cukup ramai dari ibu-ibu Malaysia yang menyokong hak sama rata dengan bapa-bapa Malaysia untuk mewariskan kerakyatan secara automatik kepada anak-anak yang dilahirkan oleh mana-mana rakyat Malaysia supaya akses untuk kanak-kanak ini di antara lain mendapat pendidikan, penjagaan kesihatan dan perlindungan-perlindungan lain dapat dijamin.

“Bagaimanapun, saya meminta Kerajaan supaya kembali berbincang dan berunding dengan pihak-pihak yang berkepentingan berkenaan beberapa cadangan pindaan yang bertentangan dengan prinsip keadilan serta boleh memudharatkan golongan rentan terutamanya kanak-kanak terdampar dan terbuang di mana ibu bapa atau ahli keluarga mereka tidak dapat diketahui dan dijejaki,” katanya.

Tegasnya, kajilah semula dengan lebih mendalam, dapatkan maklumbalas dan pandangan yang holistik dari pemegang-pemegang taruh yang cukup dekat dengan isu ini sebelum memutuskan langkah seterusnya.

Terdahulu dalam sesi yang berlangsung lebih tiga jam tersebut, wakil-wakil NGO yang hadir telah berkongsi pandangan berkenaan cadangan-cadangan pindaan perlembagaan yang dilihat terkebelakang dan boleh memberi kesan mudharat kepada golongan yang terlibat terutamanya kanak-kanak.

“Kebimbangan-kebimbangan ini bukan sahaja disuarakan oleh NGO-NGO yang bekerjasama memperjuangkan isu-isu hak wanita dan kanak-kanak malah ia juga turut disuarakan serta dibincangkan oleh ramai akademia, pihak kerabat diRaja dan institusi hak asasi manusia seperti SUHAKAM,” kata Shahrizat lagi. – UMNO Online

@umnoonline

Dapatkan berita terkini UMNO terus ke Whatsapp Anda! Ikuti     Whatsapp Channel UMNO Online sekarang.