PRN: Jentera Parti Dalam Kerajaan Perpaduan Komited Bergerak Seiring – Ahmad Zahid

KUALA LUMPUR, 12 Julai – Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi berkata semua parti dalam Kerajaan Perpaduan komited akan bersama menggerakkan jentera bagi menghadapi Pilihan Raya Negeri (PRN) di enam negeri kelak.

Beliau yang juga Presiden UMNO berkata, ini termasuk juga parti-parti dari Sabah dan Sarawak yang turut membantu.

“Apa yang dibincangkan dalam mesyuarat malam ini adalah soal bagaimana penyatuan semua parti-parti dalam Kerajaan Perpaduan ini untuk komited bagi membantu jentera bukan sahaja sekadar penamaan calon tetapi juga dalam kempen-kempen pilihan raya di kawasan-kawasan tertentu dan tarikh-tarikh tertentu.

“Yang paling penting ialah ‘optik’ akan diperlihatkan oleh kepimpinan semua parti untuk bersama-sama mendokong PRN di enam buah negeri ini biarpun parti-parti di Sabah dan Sarawak tidak terlibat secara langsung namun mereka komited untuk membantu calon-calon yang akan bertanding atas asas penyatuan yang kukuh di dalam Kerajaan Perpaduan,” katanya ketika sidang media di Menara Dato’ Onn, Selasa malam.

Turut hadir Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim, Timbalan Perdana Menteri II Datuk Seri Fadillah Yusof yang juga Ketua Whip Gabungan Parti Sarawak (GPS), Ketua Menteri Sabah Datuk Seri Panglima Hajiji Noor dan Premier Sarawak Datuk Patinggi Tan Sri (Dr) Abang Haji Abdul Rahman Zohari Tun Datuk Abang Haji Openg.

Dalam masa yang sama Pengerusi Barisan Nasional (BN) itu turut berkata BN akan mengumumkan calonnya yang bertanding pada PRN itu pada 21 Julai nanti.

Untuk rekod Pengerusi Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) Tan Sri Abdul Ghani Salleh telah mengumumkan penamaan calon PRN akan diadakan pada 29 Julai, manakala pengundian awal pada 8 Ogos manakala 12 Ogos sebagai hari mengundi bagi enam negeri.

Enam negeri tersebut adalah Kedah, Pulau Pinang, Kelantan, Terengganu, Selangor dan Negeri Sembilan. – UMNO Online

@www.umnoonline.my

Dapatkan berita terkini UMNO terus ke Whatsapp Anda! Ikuti     Whatsapp Channel UMNO Online sekarang.