Rakyat Kelantan Sedia Berubah… UMNO/BN Tunjukkan Komitmen Jitu – Wan Mahussin

JELI, 7 Julai – UMNO/Barisan Nasional (BN) menunjukkan komitmen yang lebih jitu untuk menyambut angin perubahan dibawa rakyat Kelantan dan menawan hati mereka terutamanya dari segi pembangunan.

Ketua Penerangan Pergerakan Pemuda UMNO Bahagian Jeli, Wan Mahussin Wan Zain berkata, menghadapi Pilihan Raya Negeri (PRN) yang bakal berlangsung pada Ogos, Pergerakan Pemuda UMNO Negeri Kelantan akan melaksanakan beberapa program untuk menarik anak muda.

“Pertamanya, UMNO Jeli sedang dalam proses melaksanakan program Pentas Anak Muda bagi menerangkan isu-isu semasa untuk menarik golongan muda menyokong perjuangan Kerajaan Perpaduan.

“UMNO sendiri di Kelantan sudah pasti akan mendominasi PRN ini dari segi pembahagian kerusi dan Pergerakan Pemuda UMNO amat diperlukan untuk memastikan calon-calon daripada Kerajaan Perpaduan menang kerusi ditandingi.

“Jadi, insya-Allah Pergerakan Pemuda UMNO akan turun ke lapangan bersama anak muda dalam pelbagai aktiviti antaranya Himpunan Anak Muda, Pentas Anak Muda dan kita akan sediakan platform bual bicara untuk mendengar suara anak muda di Kelantan,” katanya kepada UMNO Online.

Mengulas lanjut, Wan Mahusin yakin bahawa para pengundi di negeri tersebut peka bahawa pilihan raya yang diadakan kali ini adalah untuk menentukan kerajaan negeri dan bukannya menukar kerajaan pusat.

“Melihat kepada suara anak muda dan respons terhadap isu-isu di negeri Kelantan ini, nampaknya para pengundi mula untuk menyokong Kerajaan Perpaduan dan PRN kali ini adalah untuk pengurusan pentadbiran negeri, bukannya menukar kerajaan persekutuan.

“Jadi, keyakinan itu insya-Allah menampakkan bahawasanya Kerajaan Perpaduan akan diterima oleh rakyat Negeri Kelantan dengan gerak kerja akan dilaksanakan bersama-sama,” katanya lagi.

Menurut beliau lagi, rakyat Kelantan sedia untuk berubah namun Kerajaan Perpaduan perlulah menunjukkan komitmen yang jitu bagi menawan hati mereka.

“Apa yang paling penting, Kerajaan Perpaduan perlu menunjukkan komitmen yang lebih jitu untuk menawan hati rakyat Kelantan dari segi pembangunan yang tidak mengenepikan agama, fasiliti memuaskan dalam jangka masa pendek dan panjang.

“Rakyat Kelantan sedia untuk berubah tetapi bagaimana kita membawa angin perubahan dan menyambutnya.

“Insya-Allah, saya yakin dan percaya jika formula ini berjaya Kelantan mampu berubah,” katanya lagi.

Terdahulu, Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) menetapkan PRN di enam negeri iaitu Kedah, Pulau Pinang, Kelantan, Terengganu, Selangor dan Negeri Sembilan diadakan serentak dengan 12 Ogos ini sebagai hari pengundian manakala 29 Julai sebagai hari penamaan calon.

Sementara itu, hari pengundian awal ialah pada 8 Ogos ini.

Perkara itu dimaklumkan Pengerusi SPR, Tan Sri Abdul Ghani Salleh dalam sidang media di Menara SPR, Putrajaya.

Abdul Ghani berkata, tempoh berkempen ditetapkan selama 14 hari bermula selepas pengumuman calon bertanding sehingga jam 11.59 malam, 11 Ogos ini. – UMNO Online

Oleh: Nuralyaa Izzati Azman

@www.umnoonline.my

Dapatkan berita terkini UMNO terus ke Whatsapp Anda! Ikuti     Whatsapp Channel UMNO Online sekarang.