PRN: Tidak Mustahil BN Mencapai Kemenangan Bersama PH – Azman Azeez

KUALA LUMPUR, 7 Julai – Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) mengumumkan Pilihan Raya Negeri (PRN) di Kedah, Kelantan, Terengganu, Pulau Pinang, Selangor dan Negeri Sembilan dijalankan serentak dengan 12 Ogos ditetapkan sebagai tarikh pengundian.

Exco Pergerakan Pemuda UMNO, Mohamed Khairul Azman Abdul Azeez berkata pembubaran itu membawa isyarat kepada semua jentera gerak kerja Barisan Nasional (BN) supaya perlu bekerja keras untuk memenangkan BN walaupun bekerjasama dengan Pakatan Harapan (PH).

Jelasnya, ianya tidak mustahil kerjasama yang dilakukan ini dapat mencapai kemenangan bagi secara bersama PH.

“Saya berasa optimis dapat melakukan gerak kerja bersama PH walaupun kita sedar bahawa keadaan hari ini tidak mudah tetapi yakin ianya tidak mustahil untuk mencapai kemenangan secara bersama.

“Apa yang penting adalah perancangan gerak kerja pada pilihan raya nanti mestilah menunjukkan kesepakatan. Itu menjana suasana yang lebih positif antara kerjasama yang diwujudkan kerana yang penting mempunyai satu matlamat dan visi yang sama iaitu ‘kita ingin kalih bagi sama’.

“Kita nak kalih bagi sama supaya kepimpinan kerajaan negeri sama dengan pusat bagi memastikan perkhidmatan yang terbaik buat rakyat. Itulah matlamat utama dalam menghadapi PRN,” katanya kepada UMNO Online.

Terdahulu Pengerusi SPR Tan Sri Abdul Ghani Salleh berkata, tarikh penamaan calon di keenam-enam negeri berkenaan pula ditetapkan pada 29 Julai, manakala pengundian awal pada 8 Ogos.

Sebelum ini Kelantan terlebih dahulu membubarkan DUN iaitu pada 22 Jun lepas, diikuti Selangor 23 Jun manakala Pulau Pinang, Kedah dan Terengganu masing-masing pada 28 Jun dan Negeri Sembilan pada 1 Julai. – UMNO Online

@umnoonline

Dapatkan berita terkini UMNO terus ke Whatsapp Anda! Ikuti     Whatsapp Channel UMNO Online sekarang.