Perak Tambah Lebih 2,000 Hektar Tanah Rizab Melayu – Saarani

IPOH, 6 Julai – Kerajaan Perak menambah keluasan Tanah Rizab Melayu sebanyak 2,409.28 hektar membabitkan kawasan tanah-tanah kerajaan yang bernilai tinggi dan berpotensi untuk dimajukan.

Menteri Besar Perak Datuk Seri Saarani Mohamad berkata penambahan itu menjadikan jumlah keseluruhan rizab di Perak meningkat kepada 955,587.8 hektar.

Beliau berkata keputusan yang dibuat dalam Majlis Mesyuarat Kerajaan (MMK) Negeri semalam sebagai usaha kerajaan negeri untuk memastikan kadar 50 peratus keluasan Tanah Rizab Melayu di negeri itu dapat dicapai.

“Kelulusan tambahan ini membabitkan kawasan Pasir Panjang Hulu, Mukim Pasir Panjang Hulu dan Kampung Makmur di Mukim Kampong Gajah dalam daerah Perak Tengah, masing-masing seluas 183 hektar dan 1,102 hektar.

“Kawasan baharu itu juga membabitkan kawasan di Mambang Di Awan (233.87 hektar) dan Sungai Kroh di Mukim Chenderiang, Batang Padang (476.3 hektar) manakala kawasan Kota Baharu di Mukim Teja, Kampar (395.36 hektar) dan di kawasan Slim Hills di Mukim Slim, Muallim (21.25 hektar),” katanya pada sidang media Majlis Anugerah Perkhidmatan Cemerlang 2023 dan Jasamu Dikenang Pejabat Tanah dan Galian (PTG) Perak dekat sini hari ini.

Sementara itu katanya, PTG Perak berjaya membuat rundingan untuk mewartakan kawasan seluas 800 hektar di Gunung Bersout, daerah Batang Padang sebagai kawasan tambahan TRM.

“Kawasan yang diwartakan ini merupakan wakaf saraan bagi masjid seluruh Perak. Cadangan ini bagaimanapun akan diangkat bagi kelulusan MMK dalam masa terdekat untuk kita selesaikan segera,” katanya.

Saarani di majlis sama turut menyempurnakan pelancaran Pengeluaran Salinan Dokumen Hak Milik Keluaran (DHK) kepada Tuan Punya Bersama di bawah Seksyen 343 Kanun Tanah Negara (Akta 828).

Katanya sistem e-Tanah merekodkan peningkatan permohonan hak milik hilang melibatkan pemilikan ramai susulan kes dokumen hilang, rosak atau ditahan pemilik bersama hingga mengakibatkan urusan berkaitan pindah milik, gadaian dan lien tidak dapat dilaksanakan.

“Jadi, melalui pendekatan baharu ini, DHK yang dikeluarkan kelak akan disimpan oleh Pendaftar atau Pentadbir Tanah khususnya bagi pemilikan hak milik yang dimiliki oleh ramai tuan punya berdaftar.

“Kita nak elakkan proses permohonan hak milik hilang tadi tidak dipohon oleh pemilik lain sekiranya ada isu berbangkit atau pertelingkahan di mana tiada perjanjian di antara tuan punya bersama mengenai penjagaan hak milik,” katanya. – BERNAMA

@www.umnoonline.my

Dapatkan berita terkini UMNO terus ke Whatsapp Anda! Ikuti     Whatsapp Channel UMNO Online sekarang.